suria

Mourinho pilihan utama kendali Real Madrid, hanya dia dihormati Perez - Calderon

PRESIDEN Real Madrid Florentino Perez mahu Jose Mourinho mengambil alih kelab itu pada musim panas ini, demikian kata Ramon Calderon.

Mourinho dipecat dari Santiago Bernabeu oleh Perez pada 2013 tetapi dia kini belum terikat dengan mana-mana kelab selepas tidak lagi bersama Manchester United sejak November lalu.

Real berdepan mimpi buruk apabila disingkirkan Barcelona pada saingan Copa del Rey sebelum tewas kepada Ajax pada aksi Liga Juara-Juara Eropah, Selasa lalu.

Ramai penyokong mahu Santiago Solari dipecat dan Calderon mendedahkan Mourinho menduduki senarai teratas sebagai calon pengurus baharu pasukan itu.

"Saya percaya dia merupakan calon utama presiden. Hanya dia seorang yang dihormati Perez.

"Ketika Zidane meletak jawatan, Mourinho masih bersama United jadi ia bukan masa yang tepat untuk dia melakukan kembali ke sini.

"Sekarang dia sudah bebas, jadi banyak peluang dia akan duduk di bangku simpanan musim depan," kata Calderon.

Kemelut Real terus meruncing apabila mereka tewas di tangan Barcelona pada aksi La Liga, menyaksikan pasukan itu ketinggalan 12 mata di belakang kelab Catalan tersebut.

Semasa tewas kepada Ajax, penyokong Los Blancos turut melaungkan nama Mourinho di jalanan.

Mourinho memberitahu El Chiringuito:"Saya amat bangga tetapi Real Madrid ada seorang pengurus. Sudah tentu ia satu sebab untuk berbangga tetapi tidak lebih dari itu.

"Tiada apa-apa antara saya dan juga kelab begitu juga tiada hubungan minimum," katanya. - Metro.co.uk

Jose Mourinho, Real Madrid

Artikel Lain