suria

FAM cadang gol Syahmi calon Anugerah Puskas Fifa 2019

Aksi Syahmi (kiri) sebelum meledak gol unik ketika bertemu Thailand pada pusingan kedua Piala AFF Suzuki Disember lalu.

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) telah mencapai persetujuan untuk mencadangkan gol pemain muda kebangsaan, Muhammad Syahmi Safari ketika perlawanan separuh akhir kedua Piala Suzuki AFF 2018 dicalonkan ke Anugerah Puskas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) 2019.

Menurut Setiausaha Agung FAM, Stuard Ramalingam keputusan untuk menghantar cadangan pencalonan pemain berusia 21 tahun itu dibuat selepas mesyuarat peringkat Sekretariat Agung FAM yang turut disertai Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.

"Susulan daripada keputusan itu, FAM akan menghantar surat rasmi kepada Fifa bagi mencadangkan gol dijaringkan Syahmi menerusi satu gerakan berpasukan pada minit ke-28 ketika perlawanan bertemu Thailand di Stadium Rajamangala, Bangkok pada 5 Disember 2018 itu dapat tersenarai sebagai salah satu calon anugerah berkenaan.

"FAM akan turut melampirkan salinan video gol tersebut untuk dinilai oleh Fifa.

"Biarpun mengetahui bahawa senarai 10 calon gol tercantik untuk ini akan dicadangkan dan dipilih oleh Fifa serta jawatankuasa pemilihannya, kami berpendapat surat cadangan pencalonan tetap perlu dihantar kepada badan induk bola sepak antarabangsa sebagai tanda sokongan FAM.

"Ia juga bagi memastikan gol berkenaan mendapat perhatian Fifa," jelasnya dalam kenyataan pada Rabu.

Keunikan gol yang terhasil menerusi tujuh hantaran melibatkan tujuh pemain bermula daripada penjaga gol, Farizal Marlias sebelum disudahkan dengan sepakan padu dari kaki kanan Syahmi.

Pemain tengah Selangor itu juga merupakan antara tonggak utama dalam skuad Bawah 23 Tahun kebangsaan yang bakal beraksi dalam saingan Kelayakan Kejuaraan B-23 AFC 2020 pada 22-26 Mac ini.

Sebagai rekod, pada Februari 2016, FAM turut menghantar surat cadangan pencalonan kepada Fifa untuk gol dihasilkan bekas pemain Pulau Pinang, Mohd Faiz Subri yang melakukan sepakan percuma unik dan berjaya menarik perhatian seluruh peminat bola sepak dunia sekaligus dipilih sebagai pemenang Anugerah Puskas Fifa 2016.

Syahmi Safari, Puskas

Artikel Lain