suria

KRW Sdn Bhd selesaikan semua hutang Kafa tahun ini

SYARIKAT Kelantan Red Warriors (KRW) Sdn Bhd akan melangsaikan semua tunggakan hutang yang ditanggung oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) bermula tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Fadli Mohammad berkata pihaknya akan membuat penstrukturan semula pembayaran hutang berkenaan dan akan dibayar secara berperingkat-peringkat kepada pihak yang terlibat.

"Kami telah melakukan penelitian serta membuat jadual pembayaran bagi memastikan kesemua hutang itu dilangsaikan mengikut pelan yang telah ditetapkan.

"Jumlah hutang KAFA ke atas setiap pemain berbeza. Ada yang besar, ada yang kecil oleh itu kita memerlukan satu perancangan kewangan yang teliti," katanya ketika dihubungi Bernama pada Selasa.

Fadli berkata KAFA berdepan tunggakan hutang yang banyak yang dilakukan oleh pengurusan KAFA pada 2014, 2015, 2016 dan 2018.

"Sebagai permulaan kami telah melunaskan tunggakan hutang membabitkan barisan pemain import Kelantan sebelum ini.

"Kami telah menghubungi pemain terlibat untuk berbincang mengenai tuntutan tersebut, bagaimanapun kami tidak boleh mendedahkan secara terperinci jumlah angka hutang itu kerana ia melibatkan syarikat," katanya.

KRW Sdn Bhd merupakan syarikat yang ditubuhkan untuk menguruskan KAFA selepas badan itu diswastakan bermula Januari lepas. - BERNAMA

KRW Sdn Bhd, Kafa, hutang

Artikel Lain