Felda United nyaris tumbang di laman sendiri - Sukan | mStar

Felda United nyaris tumbang di laman sendiri

Pemain Felda United Jayee John Okwunwanne diasak dua pertahanan PKNP FC Muhd Fadhil Idris dan Siyovush Asrorov pada perlawanan Liga Super 2019 di Stadium Tun Abdul Razak, malam Ahad. Foto Bernama

FELDA United nyaris tumbang di laman sendiri apabila terikat 1-1 berdepan PKNP FC pada aksi Liga Super di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka di Maran, Pahang, malam Ahad.

Sebaik perlawanan bermula, kedua-dua pasukan menampilkan corak permainan berhati-hati sebelum mula merencanakan serangan untuk menembusi benteng pertahanan lawan masing-masing.

Felda United yang dinaikkan beraksi dalam Liga Super selepas menjuarai Liga Perdana musim lepas, mempunyai peluang untuk membuka jaringan pada minit ke-21, namun rembatan pemain import dari Brazil Jocinei Schad berjaya ditangkap kemas penjaga gol pelawat, Amar Asyraaf Omar.

PKNP FC yang tampak selesa meskipun bermain di gelanggang lawan berjaya meledak gol pembukaan perlawanan pada minit ke-36 selepas pemain import dari Ghana, Thomas Abbey menanduk kencang bola hasil hantaran Muhammad Fadhil Idris.

Kedudukan 1-0 memihak kepada pasukan pelawat sehingga berakhir babak pertama.

Bersambung selepas rehat, PKNP FC yang tewas pada aksi pembukaan minggu lalu hampir menambah jaringan pada minit ke-64, namun rembatan kencang Yashir Armando Pinto hanya menggegar tiang gol.

Empat minit berselang, Felda United berjaya menjaringkan gol penyamaan menerusi sepakan percuma Muhammad Hadin Azman sekali gus menyaksikan keputusan seri 1-1 kekal sehingga wisel penamat.

Felda United kini menghuni kedudukan keenam liga dengan dua mata, sementara PKNP FC kekal di tangga tercorot dengan hanya satu mata selepas dua perlawanan. - Bernama

Felda United

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Ketiadaan lima pemain rungsingkan Kim Swee

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel

Ibu muda lahirkan bayi kembar tujuh