suria

Kelantan bakal guna khidmat bintang tempatan

SEKURANG-kurangnya dua pemain bertaraf bintang dalam arena bola sepak negara dijangka menyertai pasukan Kelantan bagi memperkuatkan skuad itu pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) khususnya Liga Premier musim ini.

Ketua Pengawai Eksekutif Kelantan Red Warriors (TRW) Sdn Bhd Fazli Mohammad berkata pihaknya kini dalam proses perbincangan akhir untuk menandatangani kontrak pemain-pemain itu bagi mengisi keperluan pasukan di beberapa posisi.

"Kita akan membawa masuk dua atau tiga orang lagi pemain bertaraf bintang tempatan. Pemain-pemain terbabit akan menyertai pasukan sebelum pendaftaran pemain ditutup 20 Februari depan," katanya kepada pemberita di Kota Bharu pada Ahad.

Sebelum ini, media melaporkan bekas pemain kebangsaan Safee Sali antara bintang tempatan yang berhasrat menyertai pasukan bekas juara berganda itu.

Fazli berkata bagi mendapatkan khidmat pemain-pemain itu, pihaknya melakukan penstrukturan kewangan syarikat bagi mengelakkan pasukan itu terlibat dengan masalah hutang musim ini.

"Kebiasaannya bagi mendapatkan pemain berkualiti kita memerlukan peruntukan yang besar namun kami yakin pemain-pemain ini akan menyertai pasukan berikutan akan ada penaja-penaja yang tampil menaja pasukan selepas ini.

"Dari segi kewangan (peruntukan) saya tidak boleh dedahkan kerana ia melibatkan syarikat yang perlu dihormati," katanya.

Ditanya mengenai nama-nama besar yang akan menyertai pasukan, beliau berkata pihaknya tidak boleh mendedahkan pemain terbabit bagi mengelakkan timbul pelbagai isu.

"Ia adalah kejutan untuk pemain dan pasukan di samping memberikan saingan sengit kepada pasukan lain," katanya. - BERNAMA

Kelantan, Liga Premier

Artikel Sebelum

Artikel Lain