suria

Perak tamat kemarau 18 tahun trofi Piala Malaysia

Perak merangkul juara Piala Malaysia 2018. Foto: The Star/M.AZHAR ARIF

KUALA LUMPUR: Perak menamatkan kemarau 18 tahun trofi Piala Malaysia dengan penuh dramatik menerusi penentuan penalti 4-1 ke atas Terengganu FC.

Pada perlawanan  akhir edisi ke-92 yang berlangsung di Stadium Shah Alam itu menyaksikan pasukan Terengganu yang dilatih Irfan Bakti Abu Salim berjaya menjaringkan gol terpantas 51 saat oleh Tchetche Kipre sebaik wisel sepak mula ditiup.

Kipre juga memastikan kedudukan selesa sebelum tamat separuh masa pertama dengan gol kedua (m-42) Babak kedua menyaksikan Perak yang dibimbing jurulatih Mehmet Durakovic bangkit mengatur serangan dan berjaya merapatkan jurang gol menerusi Muhd Firduas Saiyadi minit ke-46.

Bagaimana pun perlawanan terhenti beberapa minit dengan insiden pergaduhan pemain kedua-dua pasukan yang menyaksikan pemain perak Gilmar da Silva dilayangkan kad merah selepas mengumpul dua kad kuning minit ke-55.

Sebelas minit kemudian pemain Terengganu, Lee Tuck pula menerima kad merah selepas kesalahan menyiku pemain lawan.

Kedua-dua pasukan kembali seimbang dengan 10 pemain.

Permainan semakin rancak dengan percubaan serangan pemain-pemain skuad Seladang sehingga membuahkan gol penyamaan minit ke-91 menerusi Brendan Gan.

Kedua-dua pasukan terikat 2-2 yang memaksa perlawanan diheret ke masa tambahan. Faiz Nasir meledak gol ketiga untuk Terengganu sebaik sahaja masa tambahan bermula.


Pun begitu nasib drama berterusan gol penyamaan buat Perak pada masa tambahan apabila pemain Igor Zonjic Terengganu tersilap percaturan apabila menolak bola ke arah gawang sendiri.

Ia menjadikan keputusan seri 3-3.

Permainan terpaksa diheret ke penentuan penalti dengan menyaksikan Perak menang dengan keputusan 4-1.

Lebih manis, pemain Perak Brendan Gan juga dipilih sebagai Permain Terbaik Perlawanan.

Kemenangan ini menyaksikan Perak menamatkan kemarau trofi prestij Piala Malaysia ini selama 18 tahun, kali terakhir menjulangnya pada edisi 2000.

Kali terakhir Perak mara ke final pada 2007, namun tewas kepada Kedah 3-0.


Final, Piala Malaysia, Perak, Terengganu

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Eriksson bimbing Filipina

Artikel Lain