suria

Cheng Hoe Rasmi Tugas Ketua Jurulatih, Pilih 29 Pemain

Khairul Fahmi kembali dipanggil menyertai kem latihan Harimau Malaya.

PETALING JAYA: Ketua jurulatih Harimau Malaya memanggil empat muka baharu dalam skuadnya menjelang  perlawanan persahabatan antarabangsa 'A' dan perlawanan terakhir Kumpulan B, Kelayakan Piala Asia 2019.

Tan Cheng Hoe  secara rasmi dinaikkan pangkat sebagai ketua jurulatih kebangsaan yang baharu pada 7 Disember 2017 bagi menggantikan Nelo Vingada dari Portugal yang telah meletak jawatan pada 6 Disember 2017.

Tugasan sulung Cheng Hoe ini bakal diuji dengan perlawanan persahabatan bertemu Mongolia di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Khamis ini (22 Mac) dan perlawanan terakhir Kelayakan Piala Asia 2019 bertemu Lebanon di Stadium Camille Chamoun Sports City, Beirut pada Selasa, 27 Mac 2018.

Cheng Hoe memanggil 29 orang pemain termasuk telah menamakan 15 pemain baharu antaranya dua pemain berdarah campuran dari pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Natxo Insa dan La’Vere Corbin-Ong, pemain Kedah, Ariff Farhan Md Isa serta kapten Sabah, Rawilson Batuil.

Manakala, hanya 14 pemain telah dikekalkan daripada skuad 23 pemain Harimau Malaya ke Buriram, Thailand bagi dua perlawanan Kelayakan Piala Asia 2019 bertemu Korea Utara di Stadium I-Mobile, Buriram pada 10 dan 13 November 2017 yang mana kedua-dua perlawanan tersebut berkesudahan skuad Harimau Malaya tewas 4-1.

Turut tersenarai, sembilan pemain dari skuad B-23 kebangsaan kendalian Datuk Ong Kim Swee yang berjaya mara ke suku akhir Kejuaraan B-23 AFC 2018 di China, Januari lalu iaitu penjaga gol, Haziq Nadzli, Akhyar Rashid, Syazwan Andik Ishak, Irfan Zakaria, Matthew Davies, Syahmi Safari, Safawi Rasid, Nor Azam Abdul Azih dan kapten, Adam Nor Azlin.

Safawi, Nor Azam dan Adam Nor bagaimanapun merupakan sebahagian pemain yang dikekalkan daripada senarai 23 pemain ke Buriram, November lalu.

Lima  lagi pemain baharu terdiri daripada mereka yang pernah dipanggil ke kem skuad kebangsaan sebelum ini iaitu penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat, pemain tengah Kedah, Akram Mahinan, pemain PKNS FC, Mahalli Jasuli serta pemain pertahanan Perak, Shahrul Saad dan Darren Lok.

Selepas aksi bertemu Mongolia, skuad Harimau Malaya dijadual berlepas ke Beirut pada Ahad, 25 Mac 2018.

Kumpulan B saingan kelayakan selepas lima perlawanan menyaksikan Lebanon di tangga teratas dengan 13 mata, Korea Utara di tangga kedua dengan 8 mata diikuti Hong Kong ketiga dengan 5 mata manakala Malaysia yang sudah pun tersingkir daripada perebutan dua tempat teratas layak ke pusingan akhir di tangga keempat dengan 1 mata.

Selain itu, sembilan pemain yang digugurkan terdiri daripada dua penjaga gol, Izham Tarmizi Roslan dan Khairulzhan Khalid serta Shahrom Kalam, Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, Nazirul Naim Che Hashim, Amirul Azhan Aznan, Ahmad Khairil Anuar Zamri, Hadin Azman serta Syamer Kutty Abba.

Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe

Artikel Sebelum

Artikel Lain