suria

Program Akar Umbi Bola Sepak Kedah Buahkan Hasil

Aminuddin (dua, kiri) menyerahkan jersi kepada skuad muda Kedah yang bakal bersaing di pentas akhir Piala Belia pada Rabu/ Foto kredit: KFA

PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) mendedahkan program pembangunan mereka sudah mula menampakkan hasil positif.

Setiausaha Kehormat KFA, Datuk Aminuddin Omar memberitahu kesungguhan semua pihak telah menghasilkan langkah kejayaan dalam setiap kategori.

"Satu perkembangan yang sungguh menarik dalam konteks pembangunan apabila pasukan kita berjaya melangkah ke pertandingan akhir Piala Belia, separuh akhir Piala Presiden dan separuh akhir Piala Malaysia oleh skuad senior kita.

"Ini memperlihatkan kesungguhan pemain-pemain yang mewakili pasukan Kedah, mereka bermain bersungguh-sungguh dan doa serta harapan seluruh rakyat negeri ini yang ingin melihat pasukan berjaya dalam pertandingan yang disertai," ujarnya dalam satu rakaman video yang disiarkan oleh KFA lewat malam Isnin.

Aminuddin turut memberitahu, banyak perkembangan menarik yang berlaku di Kedah.

"Dan tidak cukup dengan itu, kita berjanji untuk pastikan pasukan bola sepak Kedah yang terbaik dalam negara kita.

"Bukan bermaksud negari lain tidak baik, tetapi kita berusaha untuk menandingi keupayaan yang kuat di luar sana.

"Kita bukan nak bermain di dalam negara sahaja, tetapi mahu melihat pasukan berjaya di peringkat Asia Tenggara atau peringkat yang lebih tinggi.

"Adanya pemain-pemain dari Kedah bermain di peringkat yang lebih tinggi. Ini harapan kita, ini harapan KFA, harapan rakyat Kedah Darul Aman sendiri.

"Mudah-mudahan sokongan sokongan semua peminat yang sentiasa membanjiri Stadium Darul Aman atau luar yang sentiasa yang tidak pernah putus.

"Inilah doa terbaik kepada kepada kita. Alhamdullilah hari ini kita bangga dengan keseluruhan yang mewakili Kedah Darul Aman," ujarnya.

Aminuddin berkata demikian selepas memberi sokongan kepada skuad muda Kedah yang mara ke saingan akhir Piala Belia bertemu SSMP pada Rabu bagi pusingan pertama di Stadium UiTM, Shah Alam.

Manakala aksi akhir timbal balik di Stadium Darul Aman pada 16 Oktober ini.

Datuk Aminuddin, KFA

Artikel Sebelum

Vingada Pikul Dua Tugas

Artikel Berikut

Artikel Lain