suria

Sathianathan Kena Faham - Kafa

PETALING JAYA: Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Datuk Ismail Md Noor mengakui kualiti padang di Stadium Sultan Muhammad IV berada dalam keadaan teruk.

Jelas beliau, situasi itu disebabkan ia terlalu lasak digunakan untuk semua perlawanan Liga Malaysia.

"Semua perlawanan Liga Super, Piala Malaysia, Piala Presiden, Piala Belia dan Liga FAM semuanya berlangsung di situ. Kita tak ada pilihan kerana itu satu-satunya padang yang kita ada.

"Kebetulan sebelum perlawanan menentang Felda United, padang itu penuh dengan jadual sepanjang minggu. Memang betul padang bermasalah tapi dia (B. Sathianathan) kena faham, itulah kemampuan yang kita ada," katanya kepada mStar Online.

Menurut Ismail, Kafa sudah memaklumkan mengenai keadaan padang itu kepada Perbadanan Stadium Kelantan (PSK) untuk tindakan susulan.

"Ya kita sudah sampaikan masalah padang itu seperti diulas pesuruhjaya perlawanan. Kita harap ia dapat dibaik pulih dalam tempoh rehat perlawanan Liga Malaysia," katanya.

Malah, beliau berkata, Kafa turut sedia memberi nasihat kepada pihak perbadanan stadium memandangkan mereka ada kepakaran dalam memulihkan kerosakan padang.

"Sebenarnya soal pengurusan padang di luar bidang kuasa Kafa. Kita hanya sewa padang tersebut dan ia diuruskan sepenuhnya pihak perbadanan stadium. Tapi kita sedia beri kerjasama dan nasihat dalam soal baik pulih padang," katanya.

Pemain Kelantan, Mohd Khairul Izuan diasak Dino Djulbic dari Felda United semasa pertembungan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Sabtu lalu. fotoBERNAMA.

Baru-baru ini, Ketua jurulatih Felda United, B Sathianathan mengkiritik kualiti padang di Stadium Sultan Muhammad IV yang disifatkan terlalu teruk sehingga menjadi punca anak buahnya gagal menundukkan Kelantan dalam aksi Liga Super, malam Sabtu lalu.

Katanya, kualiti padang di stadium tersebut perlu segera dipulihkan kerana ia menjejaskan permainan sesebuah pasukan yang menerapkan corak hantaran berpasukan.

"Dulu, Kelantan memang satu tempat yang susah untuk menang tetapi sekarang keadaan mereka menjadi tidak selesa jika bermain di tempat sendiri.

"Antara punca adalah padang... tolonglah baiki padang itu dulu kerana ia tidak sesuai dengan permainan pasukan Kelantan dan mana-mana pasukan yang mengamalkan permainan corak hantaran berpasukan.

"Dulu semasa saya bimbing Kelantan, saya ingat padang mereka antara yang terbaik dalam Malaysia tetapi sekarang ini, saya ingat kalau bawa lembu pun tak nak dengan padang macam ini," katanya.

Kafa, Stadium Sultan Muhammad IV

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain