Kekalahan Yang Memberi Pengajaran Buat Kedah - Sukan | mStar

Kekalahan Yang Memberi Pengajaran Buat Kedah

PENGENDALI Kedah, Mohd Nidzam Adzha Yudoff menyifatkan kekalahan kepada Perak adalah pengajaran buat skuad hijau kuning dalam menempuh baki saingan Liga Super.

Kedah Tewas 2-3 ketika skuad yang tempang tanpa lima pemain utama itu turun melayan kunjungan Perak di Stadium Darul Aman pada Sabtu lalu.

Nidzam memberitahu, sebagai jurulatih, dia sememangnya kecewa dengan kekalahan berkenaan, namun ia perlu diterima.

"Kesilapan pertahanan telah menghadiahkan kemenangan kepada Perak dan nasib kita yang kurang baik juga membantut usaha pemain untuk menyamakan kedudukan.

"Pemain perlu menyedari kesilapan mereka dalam perlawanan itu dan kembali membaiki segala kekurangan untuk menghadapi perlawanan seterusnya selepas ini.

"Ketiadaan lima tonggak utama memang dirasai, tambah pula apabila Khairul Helmi Johari terpaksa dikeluarkan kerana kecederaan," katanya kepada mStar Online.

Bagaimanapun, Nidzam yang dinaikan pangkat daripada penolong ketua jurulatih sebelum ini tetap positif terhadap perjuangan pemain sehingga minit terakhir permainan.

"Pemain layak diberi pujian kerana mereka telah melakukan yang terbaik ketika berusaha untuk menyamakan kedudukan pada babak kedua.

"Usaha mereka dihargai. Tetapi apa yang lebih penting sekarang kita perlu perbaiki segala kekurangan dan tidak mengulanginya.

"Kami akan memberi perhatian untuk perlawanan seterusnya dan akan pastikan tidak lagi tercicir mata untuk mencabar kedudukan terbaik dalam Liga Super," ujarnya.

Kedah , Liga Super , Perak

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Pep Guardiola 'Sailang' Antonio Conte

Artikel Berkaitan

Sandro Da Silva Geram

Artikel Lain