suria

Mourinho Mahu Bentuk 'Skuad Pembunuh'

JOSE Mourinho dilapor sudah mengenalpasti tiga penyerang yang akan digunakan untuk membentuk 'skuad pembunuh' di bahagian serangan Manchester United susulan ketumpulan bahagian penyudah pada musim ini.

Selepas 30 perlawanan, United sekadar menjaringkan 46 gol dan menghuni tangga kelima liga dengan mengumpul 57 mata, ketinggalan empat mata di belakang Manchester City untuk merebut slot ke Liga Juara-Juara Eropah pada musim depan.

Prestasi United kini dilihat lebih banyak bergantung kepada penyerang veteran, Zlatan Ibrahimovic untuk mencetak gol buat skuad Red Revils dengan rekod 17 jaringan sejak menyertai kelab itu pada awal musim lalu.

Meskipun dibarisi beberapa penyerang muda dan berbakat seperti Anthony Martial dan Marcus Rashforf, tetapi mereka masih belum mampu menggalas tugas sebagai penggempur utama buat United.

Disebabkan itu, Mourinho dilapor mahu membawa masuk penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris buat masa ini, Romelu Lukaku dari Everton dan pemain sensasi La Liga, Antoine Griezmann dari Atletico Madrid.

Malah pengurus kelahiran Portugal itu mahu mengeluarkan dana sebanyak 160 juta pound (RM881 juta) bagi mendapatkan kedua-dua pemain terbabit walaupun berisiko dikenakan sekatan oleh FIFA.

Namun Mourinho sedia melepaskan pemain kesayangan peminat United, Wayne Rooney bagi mengelakkan sekatan tersebut selepas pemain berusia 31 tahun itu dikatakan sedia kembali menyertai Everton.

Masa depan Ibrahimovic di Old Trafford juga masih samar memandangkan pemain Sweden itu bertegas mahu beraksi dalam kejohanan Liga Juara-Juara pada musim depan jika dia kekal.

Ada laporan mendakwa, United sudah menawarkan kontrak bernilai 10 juta pound (RM55 juta) jika dia terus bersama kelab itu.

Kos untuk mendapatkan Griezmann dijangka mencecah 90 juta pound (RM495 juta) manakala Lukaku boleh mencapai harga 70 juta pound (RM385 juta).

Kemasukan dua pemain itu sekali gus mampu membentuk barisan penyerang yang digeruni di Liga Perdana Inggeris memandangkan Lukaku kini merupakan penjaring terbanyak liga dengan 23 gol manakala Griezmann sudah menjaringkan 15 gol buat kelabnya pada musim ini.

Jose Mourinho, Manchester United

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain