suria

Jijoe Juara Dunia Acara Keirin

PETALING JAYA: Impian jaguh berbasikal negara, Azizulhasni Awang untuk menyarung jersi pelangi pada Kejohanan Dunia di Hong Kong akhirnya tercapai apabila muncul juara acara keirin, malam Khamis.

Azizulhasni yang terkenal dengan gelaran Pocket Rocketman itu mempamerkan kayuhan luar biasa dengan mengetepikan pencabarnya, Fabian Hernando Puerta Zapata dari Colombia dan pelumba No.1 dunia Tomas Babek.

Pemenang pingat gangsa Olimpik, Rio itu menyifatkan kemenangan tersebut sebagai amat bermakna buat dirinya yang mengimpikan untuk bergelar juara dunia selama 10 tahun.

"Alhamdulillah impian saya untuk muncul juara dunia tercapai malam ini. Penantian selama 10 tahun berakhir jua.

"Terima kasih di atas sokongan dan doa anda semua. Kemenangan ini adalah hadiah untuk  semua rakyat Malaysia," katanya kepada mStar Online.

Dengan kemenangan itu, Azizulhasni atau mesra disapa Jijoe merupakan pelumba Malaysia pertama memenangi gelaran juara dunia sekali gus menyarung jersi pelangi.

Jersi pelangi dengan warna asas putih serta lima jalur mendatar berwarna hijau, kuning, hitam, merah dan biru di bahagian dada adalah jersi yang dihadiahkan kepada juara dunia, yang boleh dipakai dalam perlumbaan di sepanjang tahun oleh pemiliknya.

Sementara itu, isteri Azizulhasni, Athiah Ilyana Abd Samad turut memanjatkan syukur di atas pencapaian luar biasa suaminya itu.

"Alhamdulillah, terima kasih Allah. Sukar nak diungkap dengan kata-kata, luar biasa. Malaysia sudah ada juara dunia dan dia ialah suami saya," katanya menerusi Facebook.

Artikel Sebelum

Artikel Lain