suria

Federer Bantu Switzerland Juarai Piala Davis Kali Pertama

Pasukan tenis Switzerland menjulang trofi kejuaraan Piala Davis buat kali pertama.
ROGER Federer membantu pasukan Switzerland menjulang trofi Piala Davis buat julung kalinya selepas menewaskan Richard Gasquet 6-4 6-2 6-2 pada aksi akhir di Stadium Pierre Mauroy, Ahad malam.

Federer memastikan kemenangan itu menjadi miliknya selepas mengetepikan pasukan Perancis selaku tuan rumah dengan agregat 3-1.

Juara 17 kali grand slam itu pada minggu lalu mengejutkan peminat-peminat tenis dunia apabila terpaksa menarik diri pada perlawanan akhir Jelajah ATP Akhir Dunia bertemu Novak Djokovic kerana mengalami masalah di bahagian belakang.

Bagaimana pun Federer kembali pulih dan beraksi sejak Jumaat lalu, namun tewas kepada Gael Monflis, 6-1 6-4 6-3 pada perlawanan kedua pasukan.

Sebelum itu, rakan sepasukannya, Stan Wawrinka telah memberi kemenangan pertama 6-1 3-6 6-3 6-2 dengan menundukkan Jo-Wilfried Tsonga secara rubber-set.

Manakala kemenangan kedua Switzerland dicatat melalui aksi beregu Wawrinka dan Federer yang mengetepikan pasangan beregu pilihan tuan rumah, Gasquet dan Julien Benneteau.

Manakala perlawanan kelima di antara Wawrinka dan Monfils dibatalkan selepas Federer mengesahkan kemenangan ketiga Switzerland.

“Kejayaan ini adalah untuk pasukan. Stan telah bekerja keras sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan permainannya sangat luar biasa sepanjang minggu ini.

“Ucapan terima kasih tidak cukup untuk Stan yang telah membantu saya. Tidak lupa juga kepada kapten Severin Luthi yang terus memberi semangat dan sokongan. 

Sementara itu, Wawrinka berkata pasukannya memang layak menjulang trofi ini kerana telah banyak melakukan pengorbanan.

“Kami berjaya melakukannya. Walaupun bukan mudah, saya tetap gembira dengan corak permainan yang agresif dan ianya berhasil,” jelas  Wawrinka.

Artikel Sebelum

Artikel Lain