suria

Moore Pertahan Gelaran CIMB Classic 2014

Ryan Moore bergambar bersama piala kemenangan selepas muncul juara pada Kejohanan Golf CIMB Classic 2014. -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Pemain Amerika Syarikat, Ryan Moore berjaya mempertahankan Kejuaraan Golf CIMB Classic 2014 dengan kelebihan tiga pukulan selepas pusingan akhir di Kelab Golf & Country Kuala Lumpur (KLGCC) di sini, Ahad.

Pemain berusia 31 tahun itu berjaya melakukan jumlah pukulan 17 bawah par 271, sekali gus mengatasi dua rakan senegaranya Gary Woodland dan Kevin Na serta bintang Sepanyol, Sergio Garcia yang berkongsi gelaran nain juara dengan 274.

Moore muncul sebagai pemain pertama memenangi kejuaraan tersebut untuk kali kedua berturut-turut dalam kejohanan edisi kelima yang menawarkan hadiah wang tunai US$7 juta (RM22.9 juta).

Pada saingan penentuan hari ini, Moore, selaku pendahulu bersama semalaman, memulakan cabaran dengan membenam empat birdie dan satu bogey pada sembilan lubang pertama.

Pada sembilan lubang kedua, beliau mencatatkan empat birdie dan dua bogey untuk menamatkan saingan dengan lima bawah par 67.

Atas kejayaan itu, Moore menerima hadiah wang tunai US$1.26 juta (RM4.17 juta) dan trofi berprestij yang disampaikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Ia adalah minngu yang hebat dan seolah-olah saya tidak tahu apa nak diperkatakan. Kembali semula untuk mempertahankan kejuaraan adalah sesuatu yang saya tidak pernah lakukan.

"Tahun lepas adalah lebih stres," kata Moore yang terpaksa bersaing dalam 'play-off' dengan Wooland sebelum merangkul kejuaraan setelah terikat 14 bawah 274 pukulan selepas pusingan akhir tahun lepas.

Mengenai saingan penentuan, Moore berkata beliau agak gugup pada lubang ke-15 dan selepas mencatatkan bogey pada lubang ke-16.

Bagaimanapun, katanya beliau lega sedikit selepas mendahului tiga pukulan menjelang lubang terakhir.

Wooland, Na dan Garcia, yang berkongsi gelaran naib juara dengan terikat dengan catatan 14 bawah par 274 pukulan, masing-masing menerima hadiah wang tunai US$522,666.67 (RM1.73 juta).

Pemain negara Danny Chia dan Nicholas Fung menamatkan saingan dengan menghuni kedudukan ke-65 bersama tiga lagi pemain.

Chia dan Fung masing-masing menerima hadiah wang tunai US$14,420 (RM47,708).

CIMB Classic, yang diiktiraf bersama Jelajah Asia dan Jelajah US PGA, menampilkan 78 pemain elit iaitu 60 daripada Jelajah PGA, 10 Jelajah Asia dan lapan pemain tajaan.

Artikel Berikut

Artikel Lain