suria

Saat Indah Pasukan Dan Penyokong Pahang - Zainal Abidin

Pasukan Pahang meraikan kejayaan mempertahankan Piala Malaysia selepas menewaskan JDT melalui penentuan penalti pada Sabtu malam. FOTO: Faihan Ghani/THE STAR

KUALA LUMPUR: Saat indah buat pasukan dan penyokong Pahang, jelas Zainal Abidin Hassan selepas berjaya mempertahankan trofi berprestij Piala Malaysia dengan penuh dramatik menewaskan pasukan Johor Darul Takzim (JDT) pada saingan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu malam.


Pun begitu, untuk bergelar juara berturut-turut bukan mudah buat anak buah bekas pemenang Kasut Emas Liga Malaysia 1992 ini kerana hanya beraksi dengan sepuluh pemain sahaja pada babak kedua. 

Insiden Saifulnizam Miswan dilayangkan kad merah pada minit ke-68 kerana dilihat menumbuk perut Amri Yahya tidak menjejaskan rentak permainan mereka sehingga mengheret permainan ke penentuan penalti selepas terikat seri 2-2 pada masa permainan sebenar.

Skuad Tok Gajah ini tidak mensia-siakan peluang terakhir itu dengan menyempurnakan semua sepakan penalti yang berpihak kepada mereka, 5-3.

Menurut Zainal, kekurangan pemain dalam padang menjadikan mereka lebih berhati-hati. 

"Semua pemain menunjukkan komitmen yang tinggi walaupun kekurangan seorang rakan.

“Saya sentiasa berpesan kepada mereka supaya kena buat dua tugas dalam satu masa.

“Di sini banyak aspek taktikal yang diterapkan kerana lawan bukan calang-calang pasukan memandangkan kami kekurangan pemain.

“Dan mereka tidak leka, terus bertungkus lumus sehinggalah ke penentuan penalti.

“Malam ini sungguh indah,” jelas Zainal Abidin selepas perlawanan.

Ketua jurulatih Tok Gajah ini berkata, salah satu faktor kejayaan yang dicapai ini adalah kerana sokongan setia penyokong-penyokong Pahang.

“Penyokong Pahang terus dan terus memberi semangat kepada kami sejak perlawanan pertama hinggalah aksi akhir kami.

"Terima kasih berjuta kali kepada mereka,” ujarnya.

Trofi Piala Malaysia menjadi koleksi kejayaan kedua Pahang musim ini selepas turut menjulang trofi Piala FA Jun lalu buat kali pertama dalam tempoh lapan tahun.

Artikel Berikut

Jadual Liga Perdana Inggeris

Artikel Lain