suria

Khairy Kecewa Kualiti Padang Stadium Nasional Bukit Jalil

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin kecewa dengan kualiti padang rumput di Stadium Nasional Bukit Jalil yang baru siap dinaik taraf bulan lepas.

Proses baik pulih keseluruhan stadium berkenaan bermula Oktober tahun lepas dengan anggaran kos RM1.5 juta.

Perlawanan final Piala Malaysia antara Pahang dan Johor Darul Ta'zim (JDT) semalam merupakan perlawanan penting yang pertama kali diadakan di stadium berkenaan selepas padang rumput baharu itu disiapkan.

Mengulas kritikan beberapa pihak mengenai keadaan padang rumput yang teruk pada final itu, Khairy berkata walaupun keadaan itu tidak menganggu kelancaran perlawanan, namun secara jelas rumput tercabut di banyak kawasan.

Beliau berkata Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) telah menjemput beliau untuk melawat padang yang dinaik taraf di Stadium Larkin bagi mencari penyelesaian kepada masalah keadaan padang rumput di Stadium Nasional.

"Tengku Mahkota Johor (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) mempelawa saya pergi ke Larkin untuk melihat padang itu. Saya akan pergi ke sana dalam masa yang terdekat kerana TMJ kata rumput yang digunakan di situ boleh digunakan di Bukit Jalil.

"Jika saya mendapati rumput dekat Larkin lebih sesuai, kita akan menggunakan rumput itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Agung Pemuda Parti Progresif Penduduk (PPP) di sini, Ahad.

Pada tahun lepas, Khairy telah mengarahkan Stadium Nasional ditutup selepas aduan bahawa keadaan padang di stadium berkenaan tidak sesuai sehingga memasksa perlawanan persahabatan antara Barcelona FC dan Malaysia ditukar ke Stadium Shah Alam pada saat-saat akhir.

Beliau berkata kementeriannya juga sebelum ini telah mencuba dua jenis rumput di Stadium Nasional, iaitu rumput jenis Cow grass dan Bermuda Green Mountain.

Artikel Sebelum

Man City Tewaskan United 1-0

Artikel Berikut

Artikel Lain