suria

Pestabola Merdeka: Malaysia Bergaya Ke Final, Tewaskan Thailand 3-0

KUANTAN: Skuad Bawah 23 Tahun negara mara ke final penuh bergaya selepas mencatat kemenangan 3-0 pada perlawanan ketiga Pestabola Merdeka di Stadium Darul Makmur, Rabu.

Skuad bimbingan Ong Kim Swee ini melengkapkan jadual perlawanan dengan penuh semangat biarpun keputusan dua kemenangan pada perlawanan sebelum ini telah melayakkan mereka ke pentas akhir.

Dengan barisan pemain-pemain berbeza dengan dua perlawanan sebelum ini, skuad Harimau Muda ini berjaya mencatat gol pertama permainan seawal minit kesebelas selepas Mohd Nasir Basharuddin menyempurnakan bola yang cuba dikeluarkan oleh penjaga gol Thailand, Arikhan Same.

Pasukan muda negara terus mengasak ke pintu gol Thailand dengan beberapa percubaan berbahaya.

Mohd Rozaimi Ab Rahman berjaya menambah gol kedua negara pada minit ke-27 selepas menewaskan penjaga gol di dalam kotak penalti.

Dua gol pada babak pertama belum cukup bagi skuad negara apabila bangkit terus mencongak serangan pada separuh masa kedua.

Skuad Thailand yang dipimpin jurulatih Kairung Threejagsang ini bagaimanapun turut mengatur serangan cuba mencari gol pertama.

Pada minit ke-62 Kim Swee melakukan pertukaran dengan mengeluarkan Mohd Zubir Mohd Ali dan menggantikan Mohd Azrif di benteng pertahanan.

Penyerang kelahiran Sabah, Rozaimi sekali lagi menambah jaringan pada minit ke-80 dengan cubaan kencang di luar kotak penalti selepas menggelecek tiga pemain pertahanan Thailand.

Rozaimi yang sebelum ini hanya beraksi tiga minit terakhir pada perlawanan pertama Sabtu lalu menggunakan peluang yang diberikan Kim Swee sebaik mungkin dalam tempoh 90 minit.

Skuad Harimau Muda A bakal berdepan dengan Myanmar pada aksi akhir Sabtu ini selepas pasukan itu turut menewaskan Singapura 2-0 pada aksi sama di Stadium Mini Temerloh.

Biarpun Thailand dan Myanmar mengumpul jumlah seri empat mata dalam tiga perlawanan, namun kelebihan gol berpihak kepada Myanmar.

SENARAI PEMAIN:

T. Reuben, Sharul Mohd Saad, Md, Fadhli Shas, D.Saarvindran, Md.Rozaimi Ab Rahman, S. Sivanesan, Md Zubir Mohd Azmi, Nazirul Naim Che Hashim, Mohd Izham Tarmizi, Md Nasir Basharuddin, Saiful Ridzuwan Selamat.

Thailand:

Reeduan Pi, Kithpom Boonsan, Pakorn Parmpak, Kasidech Wattayawong, Pinyo Inpinit, Muhammatasli Awaebesa, Muhammad Bakri Sueni, Seksit Srisai, Chayawat Srinawong, Abeefaesan Ya, E-Sa Damae, Mama Areh Dueramae

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Bach Dipilih Presiden Baru OIC

Artikel Lain