suria

Majlis Naik Bendera Di Perkampungan Sukan Dibatal - Zolkples

KUALA LUMPUR: Majlis menaikkan bendera di perkampungan sukan temasya Sukan Malaysia 2013 (Sukma), yang sepatutnya berjalan pada Khamis di Universiti Putra Malaysia (UPM), dibatalkan berikutan jerebu.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong berkata, majlis itu dibatalkan kerana tidak mahu mengambil risiko mendedahkan atlet di kawasan luar.

"Upacara perasmian temasya lebih penting daripada menaikkan bendera, jadi saya mahu semua atlet yang terlibat kali ini berada pada majlis (perasmian) tersebut Jumaat ini," katanya kepada pemberita selepas lawatan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Datuk Jamil Salleh ke MSN di sini, Rabu.

Lawatan itu bertujuan untuk memastikan semua persiapan temasya sukan itu berjalan lancar sebelum upacara perasmian di Stadium Mini MSN.

Jamil berkata, beliau sangat berpuas hati dengan persiapan untuk menjayakan Sukma kali ini dan berharap ia berjaya walaupun dalam keadaan jerebu.

Mengulas kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara, Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz bahawa Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kebanyakan venue Sukma adalah di bawah bacaan 100, Zolkples berkata, MSN masih meneruskan acara dalaman dan luar, kecuali jika ada peningkatan bacaan IPU. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain