suria

Piya Antara 27 Pemain Dipanggil Jalani Sesi Latihan Pusat

KUALA LUMPUR: Kapten pasukan Kelantan Mohd Badhri Mohd Radzi atau Piya merupakan antara 27 pemain yang dipanggil untuk menjalani sesi latihan pusat skuad bola sepak kebangsaan bagi menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa dan pusingan kelayakan Piala Asia 2015.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan hari ini berkata selain pemain berkenaan, ketua jurulatih skuad kebangsaan Datuk K. Rajagobal turut memanggil kembali kapten skuad Johor Darul Takzim FC, Safiq Rahim yang digantung satu perlawanan sebelum ini untuk menjalani sesi latihan pusat.

FAM berkata kesemua 27 pemain berkenaan perlu melaporkan diri kepada Rajagobal di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Isnin ini (11 Mac) untuk sesi latihan yang akan diadakan sehingga 14 Mac ini, demikian menurut kenyataan itu.

Pemain-pemain yang mewakili pasukan Selangor dan Kelantan yang terlibat dengan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) diberi pengecualian dan perlu melaporkan diri sehari selepas perlawanan.

Empat belas pemain turut disenaraikan oleh Rajagobal selaku pemain simpanan sekiranya berlakunya kecederaan kepada mana-mana 27 pemain berkenaan.

Mereka ialah S. Kunalan, K. Gurusamy dan Muhammad Ramzul Zahini Adenan dari Selangor; Mohd Fauzi Rozlan, Mohd Amirulhadi Zainal dan Mohd Saiful Nizam Miswan (Pahang); Mohamad Azmi Muslim dan Kamarul Afiq Kamaruddin (Johor Darul Takzim FC).

Turut tersenarai selaku pemain simpanan ialah Mohd Nazrin Mohd Nawi (Negeri Sembilan); M.Sivakumar (Perak); Mohd Fauzan Dzulkifli (Selangor PKNS FC), G. Mahathevan (T-Team); Amar Rohidan (Felda United FC) dan A. Thamil Arasu dari pasukan Harimau Muda A.

Skuad Harimau Malaya akan mengadakan perlawanan persahabatan menentang pasukan Arab Saudi di Stadium Shah Alam pada 17 Mac ini sebelum bertemu Yemen pada perlawanan kedua pusingan kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Shah Alam pada 22 Mac.

FAM berkata skuad kebangsaan akan berada di Kuantan, Pahang pada 26 Mac ini untuk perlawanan persahabatan amal menentang pasukan Palestin bagi mengutip dana untuk rakyat Palestin sebelum kembali menyambung sesi latihan pusat.

Senarai 27 pelatih kebangsaan:

Mohd Khyril Muhymeen Zambri (Kedah); Mohd Farizal Marlias, Yong Kuong Yong, Abdul Hadi Yahya (Perak); Mahalli Jasuli, Norazlan Razali, Mohd Amri Yahyah, Asraruddin Putra Omar, Abdul Shukor Jusoh (Selangor); Mohamad Aidil Zafuan Abdul Radzak, Norshahrul Idlan Talaha, Safiq Rahim (Johor Darul Takzim FC); Azamuddin Mohd Akil, R. Gopinathan (Pahang); Khairul Fahmi Che Mat, Nik Mohd Shahrul Azim Abdul Halim, Mohd Shakir Shaari, Mohd Badhri Mohd Radzi (Kelantan); Mohd Faizal Muhammad, Mohd Ashari Samsudin, Muhammad Zubir Mohd Azmi, Abdul Manaf Mamat (Terengganu); Amiridzwan Taj Tajudin, K. Reuben (ATM); Helmi Remeli (Selangor PKNS FC); Mohamad Fadhli Mohd Shas, Wan Zack Haikal Wan Nor (Harimau Muda A). - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain