suria

Sarawak Perkukuh Kedudukan Tangga Teratas Pungutan Pingat

KUANTAN: Sarawak mengukuhkan lagi kedudukan di tangga teratas dengan pungutan 66 emas, 51 perak dan 40 gangsa pada hari ketiga Kejohanan Sukan Paralimpiad Malaysia ke-16 di sini, Rabu.

Sumbangan terbesar keseluruhan pingat yang diperolehi kontinjen Sarawak hasil daripada kalungan pingat bagi acara renang dengan memungut 43 emas, 19 perak dan 11 gangsa dengan sebahagian besar juga turut dibantu dalam acara olahraga 15 emas, 26 perak dan 21 gangsa.

Kontinjen Johor yang menjadi pencabar terdekat Sarawak pula berjaya mengekalkan kedudukan ditangga kedua dengan pungutan pingat keseluruhan sebanyak 43 emas, 30 perak dan 25 gangsa.

Manakala Pulau Pinang yang mengumpul pingat 19 emas, 23 perak dan 16 gangsa berada di tempat ketiga keseluruhan dengan diekori rapat kontinjen Melaka dan Terengganu yang masing-masing memperolehi 16 pingat emas.

Tuan rumah, Pahang hanya mampu memberi saingan sehingga hari ketiga kejohanan di tangga ketujuh dengan pengumpulan 15 emas, 9 perak, dan 9 gangsa di belakang Sabah 15 emas, 10 perak dan 11 gangsa.

Sukan Paralimpiad Malaysia, yang disertai lebih 2,500 atlet dan pegawai daripada 15 kontinjen, menawarkan 1,119 pingat keseluruhan termasuk 373 pingat emas dalam 17 jenis sukan yang dipertandingkan.

Temasya sukan enam hari yang berakhir Jumaat ini melibatkan atlet dalam enam kategori kecacatan iaitu cacat anggota, penglihatan, spastik, akal, pekak dan kerdil. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain