suria

Pospisil Pemain Pertama Mara Ke Suku Akhir

KUALA LUMPUR: Vasek Pospisil dari Kanada menjadi pemain pertama layak ke suku akhir selepas menewaskan pemain Amerika Syarikat, Michael Yani 6-3,7-5 pada aksi kedua Kejohanan Tenis Terbuka Malaysia Jelajah Dunia ATP, di Stadium Putra Bukit Jalil, Rabu.

Pemegang ranking ke-120 dunia ini bagaimanapun terpaksa berpeluh sebelum mencatat kemenangan, lebih-lebih lagi Yani mempamerkan aksi bertenaga mengutip mata pada set kedua.

Perlawanan yang mengambil masa 1 jam 50 minit ini memaksa Pospisil bermain lebih agresif ketika mata terikat 5-5.

"Pada set kedua dia bermain dengan baik. Saya terlepas peluang dan permainan sangat mencabar.

"Saya juga gembira kerana menjadi pemain pertama mara ke suku akhir dan akan cuba melakukan yang lebih baik," jelasnya yang bakal bertemu Juan Monaco ataupun Jimmy Wang pada aksi selepas ini.

Sementara itu, juara 2009, Devydenko Nikolay turut bekerja keras sebelum menang ke atas pemain India, Sanam Singh 7-5,6-4.

Kemenangan tersebut membawa Nikolay ke pusingan kedua bertemu Denis Istomin yang telah mengalahkan Pablo Andujar dari Sepanyol, 6-3,6-2.

"Saya tidak pasti corak permainan pada set pertama.

"Mungkin gelanggang membuatkan pergerakan saya sedikit lambat kerana sebelum ini hanya menggunakan gelanggang latihan sahaja.

"Sedikit masa lagi saya boleh menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang," jelasnya kepada media selepas perlawanan.

Mengenai pusingan kedua nanti, Nikolay berkata, dia memerlukan lebih cergas dan perlu mengawal Istomin.

"Kami pernah bermain di Perancis di gelanggang tanah liat dan saya rasa ia lebih baik.

"Saya perlu lebih berhati-hati kerana dia suka melakukan pukulan ke garisan.

"Jika saya bermain seperti hari ini, sudah pasti ia akan lebih mencabar," jelas pemain berusia 31 tahun ini.

Turut mara ke aksi kedua, Alex Bogomolov Jr (RUS) yang menewaskan Dominic Inglot (GBR) 7-5,6-3.

Artikel Lain