suria

RVP Dikeluarkan Dari Katalog Online Arsenal Cetus Spekulasi Baru

Robin van Persie
Robin van Persie
Robin van Persie

NAMA ROBIN VAN PERSIE (RVP) telah dikeluarkan daripada katalog online kelab Arsenal sekaligus mencetuskan spekulasi yang kelab London itu telah bersedia untuk menjualnya kepada pembida tertinggi.

Sebagai kapten pasukan, RVP muncul dalam katalog Arsenal ketika kelab itu melancarkan jersi baru April lalu tetapi kini wajahnya tidak muncul ketika Arsenal melancarkan jersi kedua mereka minggu lalu.

Perkembangan terbaru ini berlaku walaupun RVP telah disahkan hadir dalam latihan bersama kesemua skuad utama Arsenal.

Akhbar The Sun UK dalam laporan eksklusifnya menyatakan, kapten yang dinilai berharga £30 juta itu kini mendesak supaya satu rundingan baru diadakan dengan pihak pengurusan kelab dan juga pengurus pasukan, Arsene Wenger.

Berdasarkan perkembangan ini amat jelas RVP, 28, mahukan isu mengenai kedudukan dan masa depannya diselesaikan segera sebelum kelab itu bertolak ke Asia dan Timur Jauh Sabtu ini untuk beberapa siri perlawanan persahabatan.

RVP dilihat turun menjalani latihan bersama skuad utama Arsenal pada Isnin walaupun situasinya bersama kelab itu masih samar-samar.

Pemain Belanda itu mencetuskan kontroversi sebaik sahaja selesai kejohanan Euro 2012 dengan mengumumkan bahawa dia enggan menandatangani kontrak baru bersama Arsenal.

Baki kontraknya bersama Arsenal kini hanya tinggal 12 bulan sahaja lagi sebelum tamat dan sekiranya Arsenal gagal menyakinkannya untuk terus kekal mereka terpaksa mencari jalan untuk menjualnya pada harga yang paling tinggi.

Jika Arsenal gagal menjualnya dalam tempoh tersebut, RVP akan menjadi pemain bebas menjelang penghujung musim akan datang dan jika dia berpindah ke kelab lain selepas itu Arsenal tidak akan memperolehi sebarang pampasan atau sebarang bayaran perpindahan.

Dari sudut komersil, ini merupakan satu kerugian besar berasaskan kualiti dan potensi yang ada pada RVP kerana Arsenal tidak dapat mengutip balik pelaburan yang telah mereka laburkan ketika membelinya dahulu.

Dan bersandarkan perkembangan semasa, hanya kelab seperti Man City, Man United, Juventus dan Real Madrid sahaja yang mampu mendapatkan khidmatnya jika dia bersetuju berpindah.

Perlu diingat, RVP adalah penjaring terbanyak dan penyandang kasut emas Liga Perdana Inggeris musim lalu dengan menjaringkan 30 gol.

RVP dikatakan enggan menandatangani perjanjian baru kerana tidak yakin yang kelab itu berusaha untuk memperkuatkan skuad yang ada sekarang dan memenangi sebarang kejuaraan pada masa akan datang.

Artikel Sebelum

Artikel Lain