suria

Peserta Termuda Acara Menembak Sukma Tarik Perhatian Ramai

KUANTAN: Aksi Umar Muhaimi Zurin Azwan pada acara menembak di Sukan Malaysia (Sukma) Ke-15 di sini, nyata menarik perhatian ramai.

Ini kerana, murid Tahun Empat Sekolah Kebangsaan Pauh, Arau di Perlis adalah peserta termuda bagi acara menembak lelaki.

Penembak cilik yang mewakili Kedah itu, mula berjinak dengan acara pistol sejak dua tahun lepas.

Gaya bersahaja Umar Muhaimi, 10, ketika membuat bidikan, mencuri tumpuan penonton yang menyaksikan acara 25m pistol lelaki individu di Lapang Sasar Menembak, Kompleks Sukma Pahang di sini, yang membuka tirai Isnin.

Walaupun menduduki tempat ke-25 daripada 26 peserta yang mengambil bahagian dalam acara itu dengan kutipan 103 mata, Umar Muhaimi tetap berpuas hati dengan persembahan pertamanya di Sukma.

"Saya tidak menang pingat tetapi saya rasa gembira kerana ia satu pengalaman yang menyeronokkan kerana dapat berjumpa dengan ramai penembak lain," katanya kepada Bernama Isnin.

Umar Muhaimi, yang bercita-cita menjadi anggota polis, akan mengambil bahagian dalam acara 25m rapid fire pistol lelaki berpasukan esok dan berharap mencapai keputusan yang lebih baik.

Sementara itu, pingat emas bagi acara 25m pistol lelaki individu menjadi milik penembak Perak, Muhd Akmal Arif Abdul Lathif dengan kutipan 568 mata keseluruhan. Pingat perak dan gangsa dimenangi dua penembak Pahang iaitu Muhammad Wisnu Awaluddin dengan 567 mata dan Abdul Aziz Abdul Malek (566 mata). - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain