Nur Suryani Akan Dirujuk Kepada Pakar Ginekologi - Sukan | mStar

Nur Suryani Akan Dirujuk Kepada Pakar Ginekologi

KUALA LUMPUR: Atlet menembak negara Nur Suryani Mohd Taibi akan dirujuk kepada dua pakar ginekologi oleh Institut Sukan Negara (ISN) minggu ini.

"Ia adalah bagi pastikan tidak ada apa-apa mudarat kepada kandungan saya sebelum beraksi di Sukan Olimpik," katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima kunjungan Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik London, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil pada Isnin.

Menurut Nur Suryani, 30, sebelum ini beliau ada melakukan rutin pemeriksaan bulanan terhadap kandungannya itu.

Pada awal bulan ini, pihak Majlis Sukan Negara (MSN) dan ISN dilapor akan mendapatkan pandangan pakar ginekologi untuk mempastikan Nur Suryani sesuai untuk bertanding atau tidak pada temasya Sukan Olimpik London, bulan depan.

Mengikut kiraan, ketika Nur Suryani mengambil bahagian pada Sukan Olimpik London, usia kandungannya ialah lapan bulan, lima hari.

Menyentuh mengenai persediaan bagi menghadapi Sukan Olimpik, Nur Suryani berkata beliau kini perlu memberi tumpuan kepada latihan mental.

"Kalau dari segi latihan fizikal, saya rasa sudah cukup memadai sebagai persiapan. Saya sudah memulakan latihan telah lama sejak dari persiapan berbagai temasya sukan sebelum ini.

"Memandangkan Sukan Olimpik ini akan mengumpulkan ramai penembak terbaik dunia, mental saya perlu kuat untuk mengawal diri saya ketika beraksi di sana," katanya.

Menurutnya, dalam keadaan beliau yang sedang sarat mengandung, sudah tentu akan menjadi perhatian pihak media bukan sahaja dari Malaysia malahan juga dari luar negara.

"Saya tidak mahu menganggapnya sebagai sesuatu yang luar biasa atau pelik, nanti diri sendiri tidak boleh terima dan ia boleh mengganggu emosi saya. Saya hanya mahu buat biasa-biasa saja dan tidak mahu ia menjadi tekanan kepada saya," katanya.

Beliau akan berlepas ke London pada 22 Julai depan, manakala acara acara 10m Air Rifle pada Sukan Olimpik yang disertainya itu akan berlangsung pada 28 Julai.

Nur Suryani akan menyertai senarai tiga lagi atlet yang bertanding ketika mengandung dalam sejarah Sukan Olimpik selepas Magda Julin (1920), Diana Sartor (2006) dan Kristie Moore (2010), yang kesemuanya bertanding dalam Sukan Olimpik Musim Sejuk.

Sementara itu, Ahmad Sarji berkata Nur Suryani akan diperiksa sekali lagi oleh pakar ginekologi sebelum berangkat ke London bagi mempastikan tidak ada apa-apa yang boleh memudaratkan Nur Suryani dan kandungannya.

"Kita amat berharap laporan itu mengizinkan Nur Suryani mengambil bahagian dalam Sukan Olimpik. Di samping itu, Nur Suryani juga amat bersemangat berlatih dan bersungguh-sungguh mahu beraksi di sana," katanya.

Ahmad Sarji, yang teruja dengan semangat yang ditunjukkan Nur Suryani, berkata sekiranya penembak itu dapat mengekalkan rentak cemerlang beliau dalam sukan menembak, beliau mungkin dapat sekali lagi beraksi di Sukan Olimpik 2016 di Brazil. - BERNAMA

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Air Selangor kini pemegang lesen tunggal perkhidmatan bekalan air… pengguna bakal terima bil baharu!

MENDAPATKAN bekalan air bersih yang berterusan sudah menjadi satu kemestian dalam kehidupan masyarakat hari ini.

default image

Culas bayar cukai kena penalti 300 peratus, ketahui 10 fakta penting Program Khas Pengakuan Cukai Secara Sukarela

HANGAT diperkatakan mengenai isu melunaskan cukai dan masih ada yang culas untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pembayar cukai. 

default image

Putrajaya... tak kenal maka tak cinta

PUTRAJAYA dibina atas sebuah impian. Dan berdasarkan beberapa pertimbangan, ia merupakan lokasi impian untuk didiami.

default image

WKB 2030: Gandingan kerajaan-swasta penting untuk manfaat rakyat

SEKTOR swasta perlu berganding bahu dengan kerajaan sebagai fasilitator untuk memperbaiki ketidakseimbangan pendapatan di negara ini.

default image

15 prinsip tulang belakang untuk capai matlamat WKB2030

LIMA belas prinsip panduan digariskan berasaskan tiga aspek penting iaitu pembangunan untuk semua, menangani jurang kekayaan dan pendapatan serta negara bersatu, makmur dan bermaruah.

Artikel Lain