suria

FAM Diminta Beri Kelonggaran Kepada Media Temu Bual Pemain Di Padang

KUALA LUMPUR: Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM) meminta Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberi kelonggaran kepada petugas media tempatan untuk menemu bual pemain di padang sebaik tamat sesuatu perlawanan.

Kesal dengan insiden pada Selasa apabila media tempatan dihalang pegawai FAM daripada menemu bual pemain Harimau Muda di padang selepas perlawanan persahabatan menentang Singapura, Setiausaha Agung SAM Faisal Jamal berkata FAM sepatutnya bertolak ansur bagi membolehkan petugas media menjalankan tugas.

"Saya harap selepas ini FAM sedia memberi kelonggaran kepada media tempatan untuk menemu bual pemain kebangsaan di padang demi pembangunan sukan bola sepak di negara ini," katanya, Rabu.

Dalam insiden di Stadium Shah Alam semalam, pegawai FAM menghalang media tempatan melakukan temu bual di padang selepas perlawanan tersebut serta berkeras meminta pihak media mengadakan temu bual di bilik sidang media sahaja.

Pada perlawanan itu, anak buah Datuk K.Rajagobal menewaskan Singapura 2-0 selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 pada perlawanan di Stadium Jalan Besar, pada Jumaat lepas.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Media dan Perhubungan Awam FAM-SAM Datuk Subahan Kamal menjelaskan insiden semalam berlaku disebabkan salah faham diantara pegawai FAM yang bertugas dengan media.

"Sebelum ini perlawanan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil dan media dibenarkan untuk membuat temubual dengan pemain di padang namun kali ini ianya berlangsung di Stadium Shah Alam yang telah menimbul kekeliruan antara kedua pihak," katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden FAM berkata pihaknya akan mengkaji isu tersebut dan akan berbincang dengan SAM agar insiden seperti ini tidak berulang lagi kerana FAM sentiasa perihatin dengan keperluan media dalam membuat liputan.

"Kita juga akan pertimbangkan permintaan media untuk memberi kelonggaran kepada mereka melakukan temubual bersama pemain di padang pada perlawanan antarabangsa berikutnya," katanya.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain