suria

Penampilan Terakhir Popovic Bersama Perak Esok

IPOH: Penyerang import dari Serbia, Lazar Popovic, akan beraksi buat kali terakhir untuk pasukan Perak pada perlawanan persahabatan menentang kelab Indonesia, Simen Padang FC (SPFC), di Stadium Perak, di sini esok (Ahad).

Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) mengambil keputusan untuk tidak memperbaharui kontrak pemain berusia 28 tahun itu yang tamat pada 1 April ini selepas pemain itu gagal menemui sentuhan gol dalam saingan Liga Super musim ini.

Tempat Popovic digantikan oleh Michal Kubala dari Slovakia dan Albert Bodjongo dari Cameroon yang turut beraksi pada perlawanan persahabatan itu bermula pukul 8.45 malam.

Presiden PAFA Datuk Zainol Fadzi Paharuddin hari ini berkata tiket untuk perlawanan itu boleh dibeli di kaunter Stadium Perak pada hari perlawanan dengan harga RM15 bagi tempat duduk berbumbung, RM8 (terbuka) dan RM4 bagi kanak-kanak.

Pasukan SPFC kini menduduki carta teratas Liga Premier Indonesia.

Katanya pasukan itu dijangka menurunkan dua penyerang hebat - Ferdinand Alfred Sinaga dan Edward Wilson Junior - yang masing-masing menjaringkan sembilan dan lapan gol dalam saingan liga musim ini.

Pasukan SPFC turut dibarisi bekas penyerang Selangor, Elie Aboy serta empat pemain import dari Korea Selatan, Argentina, Cameroon dan Liberia.-BERNAMA

Artikel Lain