suria

Kejohanan Bola Jaring Remaja Kebangsaan Buka Peluang Atlet Muda Sertai Skuad Negara

KUALA LUMPUR: Kejohanan Bola Jaring Remaja Kebangsaan ke-28 yang bermula semalam hingga Ahad ini di Stadium Juara, Bukit Kiara di sini menjadi medan pemilihan pemain berpotensi untuk diserap ke pasukan kebangsaan.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM) Mazidah Musa berkata pemilihan akan dibuat berdasarkan prestasi pemain muda dalam kejohanan tersebut.

"Kita tidak menetapkan berapa ramai yang akan dipilih tetapi kita akan memilih berdasarkan potensi mereka semasa permainan. Jika mereka bermain dengan baik kita akan pilih mereka untuk sertai skuad kebangsaan.

"Ini merupakan peluang keemasan yang tidak seharusnya dilepaskan oleh pemain muda sekiranya mereka ingin pergi lebih jauh lagi," katanya kepada Bernama.

Mazidah berkata pemilihan tersebut merupakan langkah persediaan awal PBJM untuk menghadapi Kejohanan Bola Jaring Asia Ketujuh antara 25 dan 31 Ogos di Sri Lanka.

Sembilan pasukan mengambil bahagian dalam kejohanan kali ini iaitu Perlis, Kedah, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang dan Sabah.

Mazidah berharap setiap anggota gabungan dan anggota bersekutu PBJM membuat persediaan awal untuk menghantar pasukan masing-masing tahun depan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain