suria

Lebih 1,000 Atlet Ambil Bahagian Dalam City Night Games Di Gong Badak

KUALA TERENGGANU: Lebih 1,000 atlet daripada 14 jenis sukan akan mengambil bahagian pada kejohanan Terengganu City Night Games di Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak selama dua hari mulai Jumaat ini.

Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN Terengganu Zainal Abidin Hussin berkata kejohanan anjuran kerajaan negeri itu bertujuan menggalakkan rakyat terlibat dalam bidang sukan.

"Sebahagian besar peserta adalah atlet-atlet yang dipilih untuk mewakili Terenggaanu ke Sukma di Kuantan nanti," katanya.

Zainal Abidin berkata Terengganu kini dalam rangka mempersiapkan diri untuk mempertahankan kejuaraan Sukma buat kali yang keempat setelah menjuarainya tiga tahun berturut-turut.

Katanya dalam City Night Games ini, sukan-sukan yang melibatkan atlet Sukma adalah sukan olahraga, sepak takraw, ekuestrian, memanah dan silat.

Sukan-sukan lain seperti bola sepak, badminton, boling, boling padang, motorcross, mini bike dan catur akan menjadi penyeri City Night Games.

"Lebih penting lagi supaya lokasi sukan yang disediakan di sini, diketahui umum, sekaligus menarik minat orang ramai turut serta dalam acara-acara yang diadakan atau sekadar menjadi penonton," katanya.

Zainal Abidin berkata MSN juga sedang berusaha mengembangkan sukan berkuda dan menggalakkan orang ramai di negeri ini menyertainya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Zulfahmi Duduki Tangga 10 Teratas

Artikel Lain