suria

17 Kategori Dipertandingkan Pada Kejohanan Pelayaran Asia

LANGKAWI: Sebanyak 17 kategori akan dipertandingkan pada Kejohanan Pelayaran Asia (ASC) 2012, yang merupakan edisi ke-15, di Kompleks Perahu Layar Kebangsaan di sini selama lapan hari mulai Sabtu ini.

Pengurus Besar Persatuan Pelayaran Malaysia (MYA) Mohd Afendy Abdullah berkata antara acara itu ialah Laser Standard, Laser Radial, Laser 4.7, Wind Surfing RSX, International 420, International 470, Multihull Hobie 16 dan Optimist.

Katanya kebanyakan acara itu dipertandingkan pada Sukan olimpik.

Beliau berkata seramai 279 pelayar dari 19 negara mengesahkan mengambil bahagian dan antara negara yang telah mengesahkan akan bertanding adalah Malaysia, Qatar, Korea, Singapura, Jepun, India, Taipei, Pakistan, Kazakhstan, Myanmar, Thailand, China, Filipina, Indonesia dan Hong Kong, manakala Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain menarik diri.

"Malaysia merupakan pasukan teramai menghantar pelayar dengan 44 orang untuk membawa cabaran pada kejohanan itu," katanya, Rabu.

Kejohanan dua tahun sekali itu memilih Malaysia buat pertama kalinya menganjurkan kejohanan itu.

Sementara itu, Mohd Afendy berkata Persekutuan Pelayaran Antarabangsa telah menaikkan taraf ASC yang sebelum ini tiada gred kepada pertandingan gred tiga.

Beliau berkata tindakan badan pelayaran antarabangsa itu adalah berdasarkan beberapa faktor penting terutama aspek penganjuran dan penyertaan. Katanya selain itu, Regata Perdana Antarabangsa Langkawi anjuran Persatuan Perahu Layar Kedah turut dinaikkan kepada gred tiga.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain