suria

Zulfahmi Duduki Tangga 10 Teratas

KUALA LUMPUR: Wakil tunggal Malaysia ke kejohanan perlumbaan motosikal dunia Muhammad Zulfahmi Khairuddin terus mempamerkan permulaan baik untuk musim ini apabila menduduki tempat keenam pada hari pertama ujian kedua pra musim di Jerez, Sepanyol, semalam.

Penunggang AirAsia-SIC-Ajo itu mencatat masa 1 minit 49.5 saat untuk menambah satu lagi pencapaian membanggakan setelah menduduki senarai 10 penunggang terpantas pada ujian selama tiga hari, minggu lepas.

Ketika sedang bergelut untuk menyesuaikan diri menunggang jentera empat lejang daripada dua jentera lejang yang begitu selesa dengannya sebelum ini, masa yang dicatat Zulfahmi semalam meningkatkan keyakinannya untuk menghadapi perlumbaan pada musim akan datang.

"Ada orang meragui kemampuan saya menunggang jentera empat lejang, tapi ujian ini memberi peluang kepada saya untuk membuktikan kepada semua orang bahawa saya mampu menangani cabaran baru pada musim akan datang.

"Walaupun catatan masa pusingan saya memberangsangkan setakat ini, ia tidak bermakna saya boleh mengambil mudah. Perjalanan masih jauh sebelum muism ini bermula dan saya perlu terus bekerja keras untuk mengekalkan prestasi ini. Sasaran saya ialah untuk terus berada pada kedudukan 10 teratas," katanya dalam kenyataan di sini, Jumaat.

Pada ujian itu, Danny Kent mencatat masa pusingan terpantas 1'48.4s, penunggang Aspar Team Alberto Moncayo di tempat kedua dengan masa 1'48.7s dan Sandro Cortese, rakan sepasukan Kent, mencatat masa 1'49.2s untuk menduduki tempat ketiga.

Kalendar MotoGP yang melibatkan perlumbaan 18 pusingan akan membuka tirainya pada 8 April di Losail, Qatar, manakala MotoGP Malaysia, yang mengandungi dua perlumbaan, dijadual berlangsung pada 23 Oktober di Litar Sepang, sebelum kemuncak perlumbaan musim ini diadakan di Valencia, Sepanyol pada November. Ujian pra musim itu diadakan selama dua hari bermula hari ini. -BERNAMA

Artikel Berikut

AC Milan Benam Arsenal 4-0

Artikel Lain