suria

Piala Sumbangsih, Negeri Sembilan Letak Peluang Seimbang Untuk Menang

SEREMBAN: Berdepan cabaran Kelantan bagi merebut Piala Sumbangsih, 7 Januari ini, Negeri Sembilan meletakkan peluang yang seimbang untuk kedua-dua pasukan menjuarai piala itu.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, berdasarkan rekod perlawanan membabitkan Negeri Sembilan dan Kelantan sebelum ini, kedua-dua pasukan memiliki peluang yang sama.

"Kita pernah beberapa kali menghadapi Kelantan di peringkat liga sebelum ini dan kita menang dan ada juga yang kita kalah. Jadi kedua-dua pasukan memang mempunyai peluang yang sama untuk menang.

"Bagi saya, mana-mana pasukan yang dapat menyesuaikan diri lebih awal di atas padang semasa perlawanan nanti akan mempunyai peluang yang lebih cerah untuk menang," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Kongres Tahunan PBNS ke-81, di sini, Selasa.

Perlawanan merebut Piala Sumbangsih yang berlangsung di Stadium NAsional Bukit Jalil merupakan perlawanan pembuka tirai Liga Malaysia musim ini yang mempertemukan Negeri Sembilan selaku juara Piala Malaysia dengan Kelantan selaku juara Liga Super musim lepas.

Mengenai perubahan vanue perlawanan yang diubah dari Stadium Sultan Mohamad Ke-IV, Kota Baharu ke Stadium Nasional Bukit Jalil, Mohamad yang juga Menteri Besar berkata beliau lega dengan keputusan tersebut kerana berpendapat perlawanan itu sememangnya wajar dijalankan di stadium berkecuali.

"Perlawanan ini bukan sebahagian daripada liga dan ianya tidak memberikan sebarang mata dalam menentukan kedudukan pasukan dalam liga, jadi apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia membuat keputusan untuk tukar vanue ini kita memang lega.

"Diharapkan dengan pertukaran vanue ini akan membolehkan penyokong-penyokong kita untuk hadir menyaksikan perlawanan ini, kerana venue ini lebih dekat yang memudahkan penyokong kita," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain