suria

Arsene Berang Dengan Keputusan Pengadil Selepas Arsenal Tewas 1-2 Kepada Fulham

LONDON: Pengurus Arsenal, Arsène Wenger menyifatkan pasukannya menjadi mangsa konspirasi tersembunyi selepas tewas 1-2 di tangan Fulham dalam perlawanan liga perdana awal pagi tadi.

Pengurus asal Perancis itu amat jelas sekali tidak dapat menyembunyikan kemarahannya ke atas pengadil Lee Probert selepas salah seorang pemainnya dilayangkan kad merah.

Kekalahan itu membantut hasrat Arsenal untuk melonjak ke kelompok empat pasukan teratas yang kini dikuasai oleh Manchester City, Manchester United, Tottenham dan Chelsea yang menang 2-1 ke atas Wolves.

Dengan kekalahan ini juga bermakna Arsenal telah tewas dalam enam perlawanan dari 20 permainan dan kekal dengan 36 mata - kurang satu di belakang Chelsea.

Ia sekaligus menjejaskan lagi peluang Arsenal untuk bersaing menduduki takhta liga musim ini.

Probert telah melayangkan kad merah kepada Johan Djourou pada minit yang ke-78 hasil daripada apa yang disifatkan oleh Wenger sebagai percubaan pemain Fulham untuk membolehkan pemain Arsenal itu menerima kad kuning yang kedua.

Ini adalah kemenangan Fulham yang pertama ke atas Arsenal dalam sembilan percubaan.

Artikel Berikut

Artikel Lain