suria

United, Chelsea Tumbang Di Hari Akhir 2011

LONDON: United dan Chelsea masing-masing tewas di gelanggang sendiri, Spurs diikat seri satu sama dengan Swansea manakala Arsenal menang tipis 1-0 ke atas QPR adalah sebahagian daripada asam garam penutup tirai 2011 Liga Perdana Inggeris.

Yang lebih mengejutkan ialah kekalahan Manchester United di tangan pasukan paling tercorot dalam liga iaitu Blackburn di gelanggang sendiri.

United belum pernah tewas di tangan Blackburn dalam tujuh perlawanan sebelum ini.

Chelsea yang sedang berhadapan dengan tekanan sehingga mendorong pemilik kelab tersebut mengumumkan bahawa jawatan pengurus kelab, Andre Villas-Boas adalah selamat buat masa ini tewas 3-1 di tangan pasukan sederhana Aston Villa.

Chelsea mendahului melalui tendangan penalti Didier Drogba tetapi lima minit kemudian Villa menutup mulut para penyokong tuan rumah dengan jaringan gol oleh Stephen Ireland.

Dan dua gol dalam babak tujuh minit sebelum wisel penamat oleh Stiliyan Petrov dan Darrent Bent menyumbang kepada kekalahan kelima untuk Chelsea musim ini.

Bagi United pula, kekalahan kepada Blackburn telah merosakkan sambutan ulang tahun hari jadi yang ke-70 untuk Sir Alex Ferguson yang sebelum itu diraikan di stadium Old Trafford dengan penuh gembira tetapi pulang dengan wajah yang masam.

Kepada Blackburn ini hanyalah kemenangan ketiga buat mereka musim ini setelah tewas 11 kali dan seri lima kali.

Namun begitu ia adalah kemenangan yang sangat bermakna kepada pengurus mereka Steve Kean yang sedang berhadapan dengan tekanan daripada penyokong setia Blackburn yang mahu dia dipecat. Blackburn kini naik satu anak tangga dari kedudukan paling bawah.

Untuk Sir Alex, ini adalah kekalahan kedua musim ini dalam liga dan merosakkan sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-70.

Dan mereka sudah pastinya mengharapkan Sunderland akan membantu mengurangkan kekecewaan mereka dengan menumpaskan Manchester City dalam perlawanan pada jam 11 malam ini (Ahad).

Sunderland yang sedang pulih dan kembali menunjukkan keyakinan yang tinggi di bawah kendalian pengurus baru Martin O'Neill akan menjadi lawan yang sukar buat City.

Buat masa ini United dan City berkongsi mata yang sama iaitu 45 melainkan City menang atau seri malam ini.

Berikut adalah keputusan penuh perlawanan Liga Perdana Inggeris malam tadi:

> LIVERPOOL 3 - 1 NEWCASTLE

> MAN UTD 2 - 3 BLACKBURN

> ARSENAL 1 - 0 QPR

> BOLTON 1 - 1 WOLVES

> CHELSEA 1 - 3 VILLA

> NORWICH 1 - 1 FULHAM

> STOKE 2 - 2 WIGAN

> SWANSEA 1 - 1 SPURS

Artikel Lain