suria

Gabungan SMSS-SSBN Beri Kekuatan Pada T-Team

KUALA TERENGGANU: Gabungan pemain projek bola sepak Sekolah Menengah Sultan Sulaiman (SMSS) dengan Sekolah Sukan Bukit Nenas (SSBN) dijangka dapat memberi kekuatan kepada skuad T-Team Piala Presiden menghadapi saingan kejohanan tersebut bulan depan.

Ini disuarakan jurulatih Azahari Salim yang berkata bahawa Terengganu berjaya menjadi juara Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) bawah 18 tahun dan juara Primier Cup hasil daripada gabungan tersebut tahun ini.

"Kita yakin pemain dapat mengekalkan rentak menghadapi kejuaraan Piala Presiden yang akan bermula 26 Jan ini," katanya ketika dihubungi di sini Sabtu.

Selain itu, menurut Azahari, pasukan T-Team kali ini diperkuatkan lagi dengan tiga pemain terpilih menyertai pasukan Harimau Muda B iaitu Romzi Suffian, Aiman Amran dan Amir Sukri Zulkifli.

Katanya, seorang lagi pemain Harimau Muda B yang turut terpilih dalam skuad Piala Presiden T-Team tahun ini iaitu Amir Zahran yang berasal dari Wakaf Tapai Hulu Terengganu, telah menarik diri. Azahari berkata T-Team membuat persediaan agak lambat berikutan pemain yang terpilih baru selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

Dalam persediaan menghadapi kejohanan ini, beliau berkata T-Team telah memilih 35 pemain dan cuma 25 pemain sahaja yang akan disenaraikan untuk skuad utama.

Beliau berkata T-Team Piala Presiden tidak meletakkan sasaran terlalu tinggi hanya memadai sekadar memasuki peringkat suku akhir namun tidak memandang mudah pasukan di dalam kumpulan B termasuk Terengganu kerana mereka mempunyai kelebihan sendiri.

Pasukan-pasukan itu ialah Kelantan, Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), Sabah, Johor, MBJB, SDM Pulau Pinang, PDRM, Sime Darby FC, Melodi Jaya FC, Melaka, Sekolah Sukan Tengku Mahkota Ismail (SSTMI) dan Kedah. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain