suria

Atlet Karate Tidak Tolak Jurulatih Luar Tapi Mahu Arivalagan Kekal

SERDANG: Atlet karate negara memohon Majlis Sukan Negara (MSN) melanjutkan khidmat ketua jurulatih P. Arivalagan namun tidak menolak sekiranya mendapat jurulatih asing yang baru seperti yang ditetapkan oleh Persekutuan Karate Malaysia (Makaf).

Pemenang pingat emas Sukan SEA Indonesia bulan lepas K. Theagarajan yang mewakili skuad kebangsaan berkata keputusan kontrak sifunya dijangka akan diketahui minggu depan dan berharap Arivalagan akan disambung kontrak yang akan tamat Sabtu ini.

"Saya tidak menolak jurulatih luar tetapi sebaiknya saya mahu Arivalagan kekal menjadi jurulatih skuad elit negara untuk penggal seterusnya dan begitu juga dengan hasrat rakan seperjuangan lain," katanya kepada pemberita di sini Khamis.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis menghargai pemenang pingat Sukan SEA Indonesia bersama tiga lagi rakannya yang juga pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) dari jurusan Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat.

Tiga lagi atlet UPM yang berjaya mengharumkan nama membawa pulang pingat di Indonesia ialah atlet kuatret 4x400 meter S. Kannathasan, atlet lawan pedang Liong Ming Chang dan atlet wushu Koo Chee Zhong.

Mereka mendapat wang insentif berupa biasiswa sebanyak RM5,500 setiap seorang.

Theagarajan berkata fokusnya akan terarah kepada dua kejohanan utama iaitu Kejohanan Junior dan Senior Kebangsaan dan Kejohanan Persekutuan Karate Asean.

"Kedua-dua tempat dan tarikh pertandingan itu belum ditentukan lagi dan kalau saya menang kejohanan senior kebangsaan itu barulah akan dipilih mewakili kebangsaan melawan atlet Asean dan juga di Sukan Universiti Asean," katanya.

Makaf pada awal tahun ini bersetuju menyambung semula kontrak Arivalagan selama setahun iaitu sehingga hujung tahun ini selepas menerima desakan barisan atlet senior yang tidak mahu berlatih di bawah mana-mana jurulatih selain daripada Arivalagan.

Keputusan Makaf itu sedikit melegakan, namun selepas kontraknya tamat hujung tahun ini, Makaf bertegas mahu menggunakan khidmat jurulatih asing bagi membimbing skuad negara. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain