suria

Pahang Buru Piala Emas Raja-Raja Buat Kali Kedua Selepas 1980

PETALING JAYA: Pahang mahu menamatkan kemarau 31 tahun untuk menambah koleksi kejuaraannya yang kedua apabila menentang Melaka pada perlawanan akhir bola sepak Piala Emas Raja-Raja edisi ke-71 di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, Ahad ini.

Biarpun menyedari lawannya bertaraf pasukan jemputan yang merupakan pasukan mendaftar di bawah Kelab Warisan Melayu Melaka dan dilihat mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan awal, mereka yakin mampu menjulang kejuaraan itu bagi melengkapkan penantian sejak kali terakhir muncul juara pada 1980.

Setiausaha Kehormat Bola Sepak Melayu Pahang dan merangkap naib presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBSMM) Anwar Awad berkata pasukannya mempunyai kekuatan yang dibarisi beberapa pemain Pahang yang berpengalaman.

"Kita mempunyai enam pemain yang bermain dalam saingan Liga Super musim ini dan saya juga difahamkan pasukan Melaka dibantu beberapa pemain dari MP Muar (Majlis Perbandaran Muar).

"Saya yakin kita mempunyai kekuatan yang mencukupi namun kita perlu berwaspada kerana belum melihat corak permainan Melaka kerana mereka dalam kumpulan berasingan," katanya kepada pemberita selepas sidang akhbar mengenai perlawanan akhir Piala Emas Raja-Raja, di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di sini Rabu.

Stadium Majlis Perbandaran Temerloh juga akan menjadi tempat saingan liga Malaysia kerana stadium asal, Stadium Darul Makmur kini menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan setelah menghadapi masalah kerosakan infrastruktur.

Pahang dan Melaka layak ke perlawanan akhir setelah masing-masing mengalahkan Perlis dan Kedah dengan agregat 3-2 dan 4-2.

Perlawanan tersebut berlangsung pukul 8.45 malam dan PBSMM merupakan penganjur kepada kejohanan Piala Emas Raja-Raja.

Sementara itu, Presiden PBSMM Datuk Takiyuddin Hassan berkata PBSMM telah bersetuju menaikkan wang hadiah johan kepada tambahan RM15,000 dari RM30,000.

"Naib johan juga tidak ketinggalan dinaikkan menjadi RM30,000 daripada RM15,000 sebelum ini. Malah setakat ini Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad perkenan berangkat pada malam perlawanan akhir itu," katanya.

Jelasnya perlawanan akhir ini dikenakan tiket sebanyak RM7 untuk tempat duduk berbumbung dan RM5 untuk terbuka. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Arsenal, Wolves Seri 1-1

Artikel Lain