suria

Piala FA Musim Depan: Kelab Kemboja Ganti Harimau Muda B

PETALING JAYA: Juara Piala FA Kemboja, Preach Khan Reach FC, akan menggantikan Harimau Muda B (skuad bawah 19 tahun kebangsaan) bagi aksi Piala FA Malaysia musim depan, demikian diputuskan oleh Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Pengerusi jawatankuasa tersebut Datuk Hamidin Mohd Amin berkata keputusan itu memandangkan Harimau Muda B akan terbabit dalam dua kejohanan jemputan serantau iaitu Kejohanan Tiga Penjuru di Singapura dari 17-21 Feb dan Kejohanan Piala Hassanal Bolkiah di Brunei dari 25 Feb hingga 5 Mac.

"Pasukan Kemboja itu hanya menggantikan Harimau Muda B untuk saingan Piala FA sahaja dan mereka akan menjadikan Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai stadium utama mereka," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa tersebut di Wisma FAM pada Khamis.

Hamidin berkata segala perbelanjaan untuk pasukan tersebut sepanjang beraksi dalam Piala FA akan ditanggung sendiri oleh mereka.

Beliau juga berkata Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) akan menanggung segala kos terlibat untuk pengadil dari Malaysia yang mengadili perlawanan melibatkan pasukan Lions XII (skuad bawah 23 tahun Singapura) dengan 13 pasukan lain dalam saingan Liga Super di negara republik itu.

"Kos untuk pengadil dan pembantu pengadil dari Malaysia seperti penginapan, makan dan minum akan ditanggung oleh FAS," katanya.

Beliau berkata FAS bagaimanapun diberikan pengecualian oleh FAM untuk mengenakan harga tiket yang berpatutan untuk perlawanan melibatkan pasukan Lions XII di venue utama mereka iaitu Stadium Jalan Besar.

"Kita biasanya menetapkan harga tiket sebanyak RM10 selain levi sebanyak 10 peratus untuk perlawanan di sana (Singapura) namun terpulang kepada mereka (FAS) untuk menentukan harga tiket yang sesuai," katanya.

Hamidin berkata pengurusan negeri dan kelab terlibat dalam Liga Malaysia juga berhak berbuat perkara sama memandangkan peraturan berkenaan dengan harga tiket telah lama termaktub dalam undang-undang FAM. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain