suria

AirAsia Lanjut Penajaan 1Malaysia Racing Team

KUALA LUMPUR: AirAsia Bhd melanjutkan perjanjian penajaannya dengan 1Malaysia Racing Team Sdn Bhd bagi tempoh setahun berkuat kuasa 1 Jan, 2012.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Jumaat, AirAsia berkata ia memeterai lanjutan perjanjian penajaan bertarikh 26 Mei, 2011 dengan 1Malaysia Racing Team untuk menjadi rakan kongsi rasmi Caterham F1, pasukan kereta lumba F1 yang dikenali sebagai Team Lotus dan penaja program Pembangunan Pemandu F1 Caterham.

"Di bawah lanjutan penajaan itu, AirAsia akan menjadi Rakan Kongsi Rasmi Caterham F1 dan penaja program itu bagi tempoh musim perlumbaan F1 2012 pada terma yang sama seperti yang disediakan dalam perjanjian itu, kecuali berkaitan dengan jumlah penajaan daripada syarikat kepada Caterham F1," kata AirAsia.

Jumlah penajaan daripada AirAsia kepada Caterham F1 termasuk RM5.36 juta bagi nilai/ruang media syarikat dan RM1 juta bagi perbelanjaan seterusnya berkaitan dengan pengiklanan dan aktiviti berkaitan perhubungan awam dengan Caterham F1.

AirAsia berkata, menerusi hubung kait berterusan dengan F1, syarikat itu berhasrat untuk meningkatkan persepsi jenamanya daripada syarikat penerbangan tambang murah kepada jenama yang dikaitkan dengan sukan mewah dan teknologi canggih F1.

AirAsia berharap dapat menggunakan penajaan dan penjenamaan sukan untuk merangsang aspirasi pengguna dan membangunkan tema berkaitan sukan dalam kempen jualan bagi pelbagai destinasi penerbangan.

Dalam kenyataan berasingan, AirAsia berkata ia hari ini memeterai perjanjian dengan QPR Holdings Limited, syarikat induk Queens Park Rangers Football Club, bagi penajaan jersi "Away Shirt" QPR dalam Liga Perdana Inggeris.

Sebagai balasan kepada hak yang akan disediakan kepada syarikat, Airasia akan membayar QPR GBP350,000 bagi terma setahun sebagai fi penajaan.

AirAsia akan menerima antara lainnya hak penaja rasmi "Away Shirt" (jersi yang akan dipakai semasa bermain di tempat lawan) QPR, pelantikan "Rakan Kongsi Rasmi QPR" bagi tujuan pengiklanan dan promosi, dan lesen untuk menggunakan Harta Intelektual QPR bagi tujuan pengiklanan dan promosi. Hak lain termasuklah untuk mengiklan di QPR Loftus Road Stadium pada hari perlawanan dan pengiklanan dalam program perlawanan rasmi QPR dan penerbitan lain QPR.

Pada 12 Sept, tahun ini, AirAsia memeterai perjanjian terma dan syarat dengan hasrat memeterai perjanjian hari ini dengan QPR bagi penajaan "Away Shirt" QPR dalam liga Barclays Premier League. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain