suria

Fergie Sambut Hari Lahir Ke-70 Dengan Menerima Kunjungan Blackburn

MANCHESTER: Pengurus Manchester United, Sir Alex Ferguson akan menyambut ulang tahun hari lahirnya yang ke-70 hari ini dengan menerima kedatangan Blackburn di Old Trafford pada jam 8.45 malam nanti.

Beliau akan diraikan sebagai pengurus yang paling berjaya dalam sejarah bolasepak Britain.

Tidak ada pengurus yang lebih tua daripadanya yang membimbing pasukan Liga Perdana melainkan mendiang Bobby Robson yang masih memimpin Newcastle Utd pada usia 71 tahun.

Tetapi tidak sepertimana Ferguson yang telah membawa 12 kemenangan liga kepada Utd iaitu yang paling banyak dalam sejarah, Robson terpaksa menerima nasib malang apabila dipecat setelah sekadar membawa Newcastle menduduki tempat keempat, ketiga dan kemudian kelima dalam liga.

Ferguson juga turut mencatatkan sejarah sebagai satu-satunya pengurus yang memimpin sesebuah pasukan paling lama dan pencapaian ini tidak mampu digugat oleh mana-mana pengurus pun.

Kemenangan ke atas Blackburn malam ini akan mengukuhkan lagi kedudukan United untuk mempertahankan mahkota liga mereka.

Mereka kini terikat dengan kelab jiran, Manchester City dengan memperolehi 45 mata. Hanya perbezaan jaringan gol sahaja yang memisahkan kedua-dua pasukan ini.

City akan berkunjung ke Sunderland malam Ahad untuk terus mempertahankan kedudukan mereka sebagai pendahulu liga tetapi kebangkitan Sunderland di bawah pengurus baru Martin O'Neill mungkin menjadi batu penghalang buat mereka berbanding Utd yang akan berdepan dengan kelab paling tercorok dalam liga musim ini.

Artikel Berikut

Artikel Lain