suria

Terengganu Bina Sekolah Sukan Kedua Februari Ini

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu akan membina sekolah sukan kedua di negeri ini berharga RM25 juta di kawasan lapan hektar di Gong Badak berhampiran Kompleks Sukan Gong Badak tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri Ahmad Razif Abd Rahman berkata kerja-kerja pembinaan sekolah itu akan bermula Februari ini.

"Sebelum ini kita telah mempunyai sebuah sekolah sukan yang sama iaitu Sekolah Sukan Bukit Nenas di Setiu, namun pembinaan sekolah kedua ini juga amat penting memandangkan Terengganu kini merupakan kuasa sukan baru di negara ini.

"Penubuhan sekolah kedua ini dilihat perlu bagi menggilap bakat-bakat yang ada selain itu mampu melonjakkan industri sukan dan akademik," katanya kepada Bernama di sini, Isnin.

Beliau berkata sekolah itu dibina dalam masa dua tahun dan mampu menampung kira-kira 800 hingga 1,000 pelajar dalam satu-satu masa.

Beliau berkata pembinaan sekolah tersebut akan menggunakan konsep yang sama dengan Sekolah Sukan Bukit Jalil, Kuala Lumpur dan Sekolah Sukan Bandar Penawar, Johor.

"Kita akan menumpukan kemasukan anak negeri ini terlebih dahulu. Apa yang penting mereka bukan sahaja perlu hebat dalam sukan, bahkan dalam akademik jika mahu menyambung pelajaran di sekolah berkenaan," katanya.

Ahmad Razif berkata pada masa kini terdapat beberapa sekolah yang terlibat dengan program sukan iaitu Sekolah Menengah Sultan Sulaiman dan Sekolah Menengah Padang Midin yang melibatkan acara sukan sepak takraw dan bola sepak.

Justeru, pihaknya telah menyarankan kepada Jabatan Pelajaran supaya pelajar ini ditempatkan di sekolah sukan bagi memudahkan urusan pemberian biasiswa selain memastikan akademik mereka tidak ketinggalan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata dua buah sekolah lagi turut dibina tahun depan iaitu Sekolah Menengah Vokasional Hulu Terengganu dan Sekolah Menengah Kebangsaan Peroi di Setiu. - BERNAMA

Artikel Lain