suria

Dua Atlet Wanita Lumba Basikal Terengganu Terpilih Ikuti Latihan ACC

KUALA TERENGGANU: Dua pelumba basikal wanita Terengganu terpilih untuk mewakili negara ke kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) di Putrajaya dari 18 hingga 22 Feb depan.

Jurulatih lumba basikal Terengganu Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan berkata kedua-dua pelumba itu ialah Nor Ain Mahmud berasal dari Besut dan Suryani Mohamad dari Kuala Terengganu.

"Ini kali pertama pelumba wanita Terengganu terpilih untuk menjalani latihan pusat bagi menghadapi kejohanan antarabangsa itu," katanya ketika dihubungi Bernama di sini pada Sabtu.

Syed Mohd Hussaini, yang juga jurulatih pasukan kebangsaan, berkata kedua-dua pelumba itu kini berada di Melaka untuk menyertai latihan pusat bersama-sama tiga lagi pelumba wanita iaitu masing-masing dua dari Angkatan Tentera Malaysia dan seorang dari Johor.

Katanya pemilihan kedua-dua pelumba itu berdasarkan pencapaian semasa serta kejohanan-kejohanan yang disertai sepanjang tahun ini.

Beliau berkata pemilihan atlet wanita lumba basikal Terengganu itu menggambarkan bahawa Terengganu bukan sahaja dapat melahirkan jagung-jaguh lumba basikal lelaki tetapi juga wanita.

"Ia juga menjadi satu suntikan semangat kepada pelumba wanita lain di negeri ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Syed Mohd Hussaini berkata latihan pasukan lumba basikal kebangsaan di sini akan memasuki tahap kedua mulai bulan depan dan berjalan mengikut jadual, sebagai persediaan menghadapi kejohanan ACC. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain