suria

Peningkatan Ranking Beri Sinar Baru Buat Skuad Bola Negara

KUALA LUMPUR: Peningkatan kedudukan Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) iaitu daripada ranking ke-155 dunia ke-148 dunia merupakan detik paling manis buat skuad bola sepak kebangsaan sebelum menutup tirai tahun 2011.

Peningkatan tujuh anak tangga itu bagaimanapun masih jauh berbanding kedudukan terbaik negara di tangga ke-75 pada 1993 dan pada tahun lepas, kedudukan terbaik skuad negara adalah berada di tangga ke-138.

Sebelum itu, kegemilangan bola sepak negara kembali bersinar setelah sekian lama dikritik peminat tempatan apabila skuad kebangsaan berjaya merangkul pingat emas Sukan SEA Laos pada 2009 dengan menewaskan juara bertahan, Vietnam, 1-0.

Kemampuan skuad digelar 'Harimau Malaya' pula meraih pingat emas dalam Sukan Sea Jakarta selepas 20 tahun menanti, mendapat pujian melambung daripada peminat bola sepak tempatan yang terus dahagakan lebih banyak kejayaan di peringkat lebih tinggi.

Skuad bimbingan Datuk K. Rajagopal membalas kepercayaan peminat tempatan apabila mereka berjaya merangkul Piala Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) Suzuki buat kali pertama selepas 14 tahun dipertandingkan apabila menang menerusi keputusan agregat 4-2 ke atas Indonesia.

Lebih manis, kejayaan yang diraih di laman lawan iaitu Stadium Gelora Bung Karno di Jakarta, yang membuka mata peminat tempatan untuk memenuhi kembali stadium di negara ini untuk memberikan sokongan kepada pasukan kebangsaan ketika mereka beraksi menentang mana-mana pasukan luar.

Kejayaan pasukan senior kebangsaan itu dituruti oleh 'adik' mereka iaitu Harimau Muda A yang berjaya mempertahankan pingat emas Sukan SEA edisi ke-26 dengan menewaskan tuan rumah, Indonesia menerusi penentuan sepakan penalti, 4-3.

Walaupun terpaksa menghadapi pelbagai rintangan dan dugaan termasuk dicemuh peminat fanatik tuan rumah serta menaiki kereta kebal Polis Republik Indonesia (POLRI) dikenali sebagai 'Barracuda', namun semangat juang skuad Harimau Muda A tidak sedikit pun luntur untuk memastikan pingat emas kekal di bumi Malaysia.

Sekembalinya mereka daripada beraksi di Indonesia, mereka berhadapan dua tugas getir pada perlawanan kelayakan Olimpik 2012 di laman sendiri bertemu dengan Syria dan Bahrain yang menyaksikan mereka tewas masing-masing dengan jaringan 0-2 dan 2-3.

Ketua jurulatih skuad Olimpik negara, Ong Kim Swee menyifatkan faktor keletihan akibat rehat yang tidak cukup sekembalinya dari Indonesia selain hilang fokus pada saat-saat akhir menjadi punca utama kekalahan pasukan tersebut pada kedua-dua perlawanan.

Namun apa yang menggembirakan ialah sokongan tidak berbelah bahagi yang ditunjukkan oleh peminat bola sepak tempatan termasuklah kelab penyokong tegar Harimau Malaya iaitu 'Ultras Malaya' yang sanggup memenuhi hampir sebahagian tempat duduk penyokong untuk dua perlawanan tersebut.

Jualan tiket untuk kedua-dua perlawanan tersebut boleh dikatakan agak memberangsangkan apabila hampir 30,000 tiket untuk perlawanan pertama dan 45,000 pada perlawanan kedua telah terjual dan ini jelas membuktikan bahawa sokongan peminat tempatan terhadap Harimau Malaya kembali meningkat.

Rentetan kejayaan tersebut turut menyaksikan pasukan senior kebangsaan dan Harimau Muda A mendapat jemputan dari beberapa kelab serta negara luar seperti India, Australia dan Arab Saudi untuk mengadakan perlawanan persahabatan di luar negara.

Artikel Lain