suria

Chong Wei Jumpa Chen Long Pada Separuh Akhir Super Dunia

KUALA LUMPUR: Pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei mara ke separuh akhir Kejohanan Final Siri Super Dunia selepas memenangi perlawanan ketiga apabila menundukkan pemain Denmark, Peter Hoeg Gade di Stadium Li Ning di Liuzhou, China, semalam.

Pada pertemuan itu, Chong Wei hanya memerlukan masa 34 minit untuk mengalahkan Gade 24-22, 21-14 dalam perlawanan Kumpulan A.

Pemain nombor satu dunia itu akan berdepan dengan pemain China Chen Long pada pertemu separuh akhir Sabtu.

Chen Long pula telah menempah dua kejayaan dalam saingan Kumpulan B dengan mengatasi pemain Indonesia Taufik Hidayat dan Kenichi Tago dari Jepun tetapi kalah kepada rakan senegara Lin Dan.

Sementara itu, beregu utama negara, Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong gagal ke saingan separuh akhir selepas kalah pada kesemua tiga perlawanan Kumpulan B.

Beregu negara itu kalah kepada Jung Jae Sung/Lee Yong Dae, Mathias Boe/Carsten Mogensen dari Denmark dan beregu Indonesia, Mohammad Ahsan/Bona Septano.

Kejohanan itu adalah kemuncak dalam siri Super Dunia OSIM BWF di mana lapan pemain utama perseorangan lelaki dan wanita, beregu dan beregu campuran bersaing merebut hadiah keseluruhan wang tunai AS$500,000 (RM1.6 juta).

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain