suria

BAM Digesa Beri Peluang Kepada Kelab Persendirian Sertai Pertandingan Berprestij

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) diseru supaya memberi peluang kepada pemain dari kelab-kelab persendirian bermain untuk negara pada pertandingan badminton berprestij seperti Piala Thomas.

Pengarah Micheal's Badminton Academy and Sports Sdn Bhd, Lee Kok Choong ketika menyeru demikian berkata badan badminton kebangsaan itu perlu turun padang untuk mencari pemain berbakat di seluruh negara dan tidak setakat bergantung pada pemain di bawah naungan mereka untuk bertanding di kejohanan seumpama itu.

Terdapat ramai pemain berkelayakan di peringkat bawah tetapi tidak berpeluang bermain di peringkat lebih tinggi seperti Piala Thomas dan pertandingan lain, kata Lee.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis graduasi akademi itu di Puchong dekat sini pada Rabu.

Menyebut johan Junior Dunia Zulfadli Zulkiffli sebagai contoh, Lee berkata Zulfadli, 18, turut menjuarai beberapa perlawanan lain termasuk pertandingan junior Asia.

Pada majlis itu, 53 kanak-kanak dari rumah kebajikan iaitu House of Joy, Rumah Shalom dan Rumah Kebajikan At-Taqwa, diberikan sijil selepas menyelesaikan program 10 bulan mereka. - BERNAMA

Artikel Lain