suria

800 Pemain Berentap Pada Kejohanan Boling All Stars

KUALA LUMPUR: Lebih 800 pemain dari 13 negara termasuk pemain kebangsaan akan berentap di Sunway Mega Lanes dekat sini mulai Khamis hingga 18 Disember dalam kejohanan Boling All-Star Antarabangsa Milo kali ke 12.

Menurut satu kenyataan penganjur kejohanan, Sunway Mega Lanes, mereka menerima penyertaan dari Australia, Brunei, Taiwan, India, Indonesia, Filipina, Korea Selatan, New Zealand, Thailand, Singapura dan Amerika Syarikat.

Penolong Pengurus Besar Sunway Mega Lanes Michelle Wong berkata antara pemain yang akan menyertai kejohanan itu termasuklah pemain boling terkenal Amerika, David Bidwell, yang telah menjuarai tujuh kejohanan amatur dan lapan kejohanan junior, bekas juara dunia Remy Ong dari Singapura dan pemain Hong Kong Wu Siu Hong.

Kejohanan ini dibahagikan kepada dua pertandingan iaitu All-Star Junior Antarabangsa 2011 yang terbuka kepada pemain boling muda bawah 23 tahun, serta Masters yang terbuka kepada semua pemain boling dengan sistem handikap termasuk bekas juara Milo All-Star.

"Jumlah hadiah wang tunai RM250,000 menunggu para pemenang di kejohanan ini. Sebagai tambahan, hadiah wang harian RM1,000 akan diberikan kepada pemain yang melakukan permainan sempurna 300 mata semasa pusingan kelayakan," kata Wong.-BERNAMA

Artikel Lain