suria

2.8 Juta Penonton TV M'sia Saksi Final Bola Sukan SEA

PETALING JAYA: Seramai 2.8 juta penonton di Malaysia menyaksikan perlawanan akhir acara bola sepak Sukan SEA Indonesia yang menemukan Malaysia dan Indonesia, menerusi kaca televisyen.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tan Sri Annuar Musa berkata daripada jumlah itu, 1.4 juta menonton menerusi saluran televisyen berbayar Astro Arena, 1.1 juta menerusi stesen swasta TV3 dan 300,000 melalui TV1 Radio dan Televisyen Malaysia (RTM).

"Jumlah ini menunjukkan bola sepak kembali menarik minat penonton di Malaysia," katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2011 di sini, Rabu.

Annuar berkata, berikutan kejayaan skuad kebangsaan dan Harimau Muda bermula 2009, jumlah kehadiran penonton di stadium juga menunjukkan peningkatan.

Beliau berkata, bagi musim 2011, jualan tiket bagi perlawanan Liga Malaysia naik 14.8 peratus berbanding 1.3 juta keping tiket yang dijual pada musim 2010.

"Berbanding 1.3 juta pada 2010, sebanyak 1.5 juta tiket dijual pada musim 2011," kata Annuar.

Beliau berkata, perlawanan akhir Piala FA antara Terengganu dan Kelantan disaksikan sejuta penonton sementara final Piala Malaysia antara Negeri Sembilan dan Terengganu disaksikan 1.7 juta penonton, menerusi televisyen.

Annuar berkata, minat penonton untuk kembali ke stadium dan menonton televisyen adalah berdasarkan rentetan kejayaan skuad kebangsaan dan skuad Harimau Muda, bermula dengan meraih emas pada Sukan SEA di Vientiane, Laos pada 2009, menjuarai kejohanan Piala Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) pada 2010 dan mempertahankan pingat emas Sukan SEA di Indonesia minggu lepas.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain