suria

Sazali tekad Pertahan Gelaran Mr Universe

KUALA LUMPUR: Juara Mr Universe enam kali Sazali Abdul Samad berazam mempertahankan gelaran tersebut buat kali ketujuh pada kejohanan Bina Badan Dunia yang bermula Rabu sehingga Isnin depan di Melaka.

Sazali, 44, berkata beliau beryakinan mampu mengulangi kejayaan tersebut berbekalkan latihan intensif yang dijalankannya sejak Januari lepas.

"Selepas saya memenangi Kejohanan Bina Badan Best of Best di Indonesia yang berlangsung pada Januari lepas, saya terus menyambung latihan saya di gimnasium Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Sukan Negara (MSN).

"Berdasarkan latihan giat yang saya jalankan, saya yakin untuk mempertahankan gelaran tersebut," katanya.

Ditanya mengenai saingan untuk kejohanan di Melaka, beliau yang juga juara Mr Asia sebanyak tujuh kali berkata atlet bina badan dari negara Asean dan Asia Barat boleh mencabar kedudukan beliau pada kejohanan kali ini.

"Atlet bina badan dari Myanmar, Vietnam, Thailand dan Iran boleh mencabar kedudukan saya pada kejohanan kali ini berdasarkan prestasi semasa mereka dalam beberapa kejohanan sebelum ini," katanya.

Anak jati Batu Pahat, Johor ini muncul juara Mr Universe bagi kategori bantamweight (65kg) bermula di Melaka pada tahun 2000, Moscow (2004) dan Ostrava (Republik Czech)(2006) sebelum beralih ke kategori lightweight (70 kg) pada awal 2007 dan di Varanasi, India November lalu.

Selepas beralih kepada kelas baru, beliau berjaya merangkul gelaran Mr Universe buat kali keempat pada kejohanan di Jaeju, Korea Selatan pada Februari 2007, 2009 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu dan tahun lepas di Varanath, India.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain