suria

Presiden PBSNT Sedia Bersemuka Dengan Wakil Penyokong

KUALA TERENGGANU: Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu, Datuk Che Mat Jusoh bersedia bersemuka dan memberi penjelasan kepada mana-mana pihak yang masih tidak berpuas hati dengan isu kontroversi pengunduran ketua jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim.

Katanya, mereka boleh melantik seorang wakil dan datang berjumpa pihak persatuan untuk mengetahui perkara sebenar mengikut prosedur yang betul.

"Saya bersedia memberi penjelasan sebagaimana yang mereka mahukan, kita bukan buang Ifran Bakti tetapi beliau membuat keputusan untuk mengundur diri, kita tidak boleh paksa, bagaimanapun kita perlu akur kepada keputusan yang dibuatnya," katanya.

Jika pihak pengurusan tidak betul, mengapa pelbagai kejayaan berjaya diraih sehingga berjaya membawa pulang Piala FA, malah soal bayaran gaji dan bonus dibuat tepat pada masanya, katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Bernama di sini hari ini bagi memberi maklum balas berhubung penganjuran demontrasi aman yang dilakukan peminat bola sepak Terengganu yang mendesaknya meletakkan jawatan sebagai presiden persatuan.

Demonstrasi melibatkan kira-kira 1,000 penyokong itu dibuat di perkarangan Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini 5 petang tadi dan berakhir setengah jam kemudian.

Sementara itu Che Mat ketika diminta mengulas berhubung dakwaan yang mengatakan pihak PBSNT tidak memberi ganjaran RM10,000 kepada pemain setelah memenangi Piala FA pada Jun lalu, beliau berkata, wang ganjaran itu diserahkan terus kepada pemain menerusi cek yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri.

Menurutnya, wang ganjaran itu bukan diagihkan oleh pihak persatuan sebaliknya diuruskan kerajaan negeri, malah pihak PBSNT turut memberikan imbuhan kepada pemain selain ganjaran yang dijanjikan kerajaan negeri.

"Namun tidak semua pemain mendapat ganjaran itu sepenuhnya, takkan mereka yang duduk dibangku simpanan pun mendapat jumlah yang sama dan ini tidak adil kepada mereka yang bermain sepanjang perlawanan," katanya.

Justeru itu, beliau menyarankan mereka yang tidak berpuas hati datang berjumpa dan bincang apa yang ingin diketahui dengan cara yang betul bukannya dengan menganjurkan demontrasi yang secara tidak langsung mampu menjatuhkan imej sukan sukan bola sepak Terengganu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain