suria

Nor Farhan Yakin T-Team Mampu Pergi Jauh

KUALA TERENGGANU: Penyerang pasukan T-Team, Nor Farhan Mohamad yakin bahawa pasukannya mampu melangkah lebih jauh dalam saingan merebut Piala Malaysia musim ini.

Kejayaan menewaskan pasukan gergasi tanahair, Selangor 1-0 dalam aksi pembukaan Piala Malaysia pada malam Selasa lalu menyuntik semangat kepada pemain T-Team untuk beraksi lebih cemerlang bagi membolehkan pasukan itu melayakkan diri ke peringkat akhir kempen tersebut.

"Melihat pada persiapan yang dibuat oleh pasukan T-Team bagi menghadapi saingan Piala Malaysia ini, saya yakin bahawa pasukan kami menunjukkan semangat yang tinggi serta moral semakin meningkat pada ketika ini.

"Perkara ini dapat dilihat apabila pasukan kami berjaya menewaskan Selangor yang merupakan pasukan yang kuat dalam kumpulan D," katanya, Khamis.

Farhan berkata selain Selangor, Kuala Lumpur juga antara pencabar utama bagi T-Team bagi mengharungi saingan dalam kumpulan D.

T-Team telah diletakkan dalam kumpulan D bersama-sama Selangor, Kuala Lumpur dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pusingan kedua akan menemukan T-Team dengan Kuala Lumpur pada Sabtu ini di Stadium PBKL, Cheras.

Dalam perlawanan pembukaan Kumpulan D PIala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam Selasa, T'Team mengejutkan pasukan Selangor apabila menceroboh gawang pasukan itu menerusi jaringan minit ke 73 oleh pemain pertahanan Nor Fadli Alias.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Bahrain Tewaskan Indonesia 2-0

Artikel Lain