suria

Rexy Bertukar Jawatan Selepas BAM Akur Dengan Tekanan Pemain

KUALA LUMPUR: Cara Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menyelesaikan kemelut dan masa depan jurulatih beregu negara dari Indonesia, Rexy Mainaky pada lewat Khamis memberi isyarat bahawa jika tidak diambil tindakan drastik lebih ramai yang akan keluar meninggalkan badan induk itu.

Memindahkan Rexy untuk melatih pemain-pemain wanita dan beregu campuran boleh disifatkan sebagai usaha untuk menjaga air muka sebagai bekas pemain bertaraf dunia dan menghargai sumbangannya selama berkhidmat membimbing skuad beregu negara.

Ini kerana bukan tiada kejayaan langsung yang dibawa oleh Rexy kepada skuad beregu negara tetapi masanya telah tiba untuk BAM melihat pembaharuan-pembaharuan yang boleh mengembalikan semula 'keharmonian' di dalam jabatan beregunya.

Langkah ini terpaksa dan perlu diambil apabila Koo Kien Keat-Tan Boon Heong enggan lagi berlatih di bawah kendalian Rexy selepas selesainya Kejohanan Dunia di London baru-baru ini. Mereka dilatih oleh Rexy selama lebih lima tahun.

Ia juga ada kena mengena dengan keputusan satu lagi regu negara iaitu Mohd Zakry Latif-Mohd Fairuzizuan Tazari membuat keputusan untuk meninggalkan BAM.

Walaupun Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan BAM Ng Chin Chai berkata, keputusan untuk menukarkan Rexy bukanlah semata-mata disebabkan tekanan oleh beregu elit negara itu tetapi umum sudah mengetahui ia adalah punca utama kenapa perubahan ini tidak dapat dielakkan lagi.

Kini tempat Rexy akan diambil alih oleh Tan Kim Her. Ini adalah perubahan besar yang kedua yang terpaksa dilakukan oleh BAM ke atas struktur kejurulatihan mereka selepas isu Misbun Sidek membuat keputusan untuk meninggalkan BAM.

Walaupun khabarnya Rexy menghadiri mesyuarat itu dalam situasi yang penuh dengan ketegangan tetapi setelah keputusan dibuat, beliau kelihatan menerimanya secara positif.

Rexy kini akan mempunyai 13 pemain wanita dan tiga pemain lelaki di bawah kendaliannya. Misi utamanya ialah untuk memastikan pasangan Chin Eei Hui-Wong Pei Tty dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying layak ke Sukan Olimpik London tahun hadapan.

Artikel Sebelum

Tevez Bukan Lagi Kapten Man City

Artikel Lain